BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Saturday, 16 July 2016

1MDB Auditor General's Report BAB 2 ISLAMIC MEDIUM TERM NOTES, PELABURAN EKUITI, NOTA MURABAHAH DAN DANA PORTFOLIO

1MDB Auditor General's Report

BAB 2 ISLAMIC MEDIUM TERM NOTES, PELABURAN EKUITI, NOTA MURABAHAH DAN DANA PORTFOLIO

1. TERBITAN ISLAMIC MEDIUM TERM NOTES (IMTN)

1.1. TIA diperbadankan pada 27 Februari 2009 di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu yang menyokong idea penubuhannya sebagai state sovereign wealth fund dengan dana permulaan sejumlah RM11 bilion. Dana tersebut akan diperolehi daripada terbitan bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan Kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan sejumlah RM5 bilion bersandarkan pendapatan minyak masa depan Terengganu. Dana ini dijangka diperoleh daripada pendapatan royalti minyak tertangguk sejumlah RM6 bilion dan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) sejumlah RM5 bilion.
1.2. Pada 25 Mac 2009, resolusi Lembaga Pengarah TIA telah memberi kuasa kepada Encik Shahrol Azral (Ketua Pegawai Eksekutif TIA) untuk mengesahkan pelantikan AmInvestment Bank Berhad (AmBank) sebagai lead arranger and/or lead manager and primary subscriberuntuk cadangan terbitan RM5 bilion IMTN dan mengadakan rundingan berhubung terma pelantikan AmBank, untuk disyorkan kepada Lembaga Pengarah TIA.
1.3. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April 2009 telah meluluskan permohonan TIA supaya Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kepada TIA untuk meminjam sehingga RM5 bilion daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara melalui IMTN untuk pelaburan selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Jaminan ini meliputi bayaran balik prinsipal dan faedah untuk tempoh 30 tahun.
1.4.    Mesyuarat pertama Lembaga Pengarah TIA pada 15 April 2009 telah bersetuju dengan cadangan menerbitkan bon patuh syariah IMTN berjumlah RM5 bilion dengan tempoh 3 tahun bagi mendapatkan dana untuk pelaburan am dan modal kerja. Lembaga Pengarah TIA juga bersetuju tiada keperluan untuk mewujudkan Due Diligence Working Group dan menyediakan Due Diligence Planning Memorandum kerana maklumat berhubung IMTN tidak perlu dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti sebelum ditawarkan kepada bakal pelabur. Ini adalah kerana bon tersebut mendapat jaminan Kerajaan.
1.5. Menteri Besar Terengganu melalui surat bertarikh 13 Mei 2009 kepada YAB Menteri Kewangan menyatakan sokongan Kerajaan Negeri bagi terbitan IMTN berjumlah RM5 bilion oleh TIA dengan terma-terma tertentu.
1.6. Pada 15 Mei 2009, perjanjian program ditandatangani antara TIA (issuer) dan AmBank sebagai lead arranger, lead manager and facility agent. Pada tarikh yang sama, Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan jaminan Kerajaan untuk terbitan IMTN berjumlah RM5 bilion.
1.7. Bagaimanapun, tindakan menandatangani perjanjian program dan pengeluaran jaminan Kerajaan tanpa mengikut terma dan perancangan Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBI Terengganu) sebagai pemegang saham TIA telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan mendapat bantahan daripada MBI Terengganu. Sehubungan itu, selaras dengan Artikel 94 dalam Artikel Penubuhan Syarikat, Lembaga Pengarah TIA meluluskan tiga resolusi bertarikh 22 Mei 2009, yang mengarahkan penggantungan terbitan IMTN sehingga struktur tadbir urus korporat dan amalan terbaik telah diwujudkan termasuk penubuhan Lembaga Penasihat dan Panel Pelaburan syarikat serta melantik Lembaga Pengarah yang mewakili semua pemegang saham khas. Lembaga Pengarah TIA pada masa tersebut ialah YAM Tengku Rahimah Puteri Ibni Almarhum Sultan Mahmud, Datuk Ismee Ismail dan Encik Shahrol Azral.
1.8. Lembaga Pengarah TIA melalui resolusi bertarikh 22 Mei 2009 itu juga telah memutuskan supaya Encik Shahrol Azral mengambil tindakan serta merta on urgent basisuntuk memaklumkan kepada penasihat terbitan IMTN untuk menamatkan dan menggantung semua urusan berkaitan terbitan IMTN serta memastikan tiada terbitan IMTN dibuat. Lembaga Pengarah TIA turut memutuskan untuk menggantung kuasa yang diberikan kepada Encik Shahrol Azral atau mana-mana pengarah lain berkaitan dengan urusan terbitan IMTN.
1.9. Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha Syarikat TIA telah menandatangani Perjanjian Langganan dengan AmBank pada 25 Mei 2009, iaitu tiga hari selepas resolusi Lembaga Pengarah TIA yang mengarahkan penangguhan terbitan IMTN dan sebarang urusan berkaitan dengan program IMTN. Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif TIA ni adalah bertentangan dengan arahan Lembaga Pengarah TIA.
1.10. Pada 26 Mei 2009, perjanjian aqad bagi penjualan aset oleh AmIslamic Bank Berhad kepada TIA telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TIA. Pada tarikh yang sama, Perjanjian Pembelian Murabahah berjumlah RM4.396 bilion dan Perjanjian Penjualan Murabahah berjumlah RM13.625 bilion juga telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TIA.
1.11. Tindakan Encik Shahrol Azral sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TIA meneruskan urusan berkaitan IMTN telah menyebabkan beliau digugurkan sebagai pengarah syarikat sepertimana yang diputuskan dalam resolusi pemegang saham TIA bertarikh 27 Mei 2009 selaras dengan Seksyen 152A Akta Syarikat 1965. Tindakan ini juga selaras dengan Artikel 73 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat yang membenarkan pengguguran mana-mana pengarah syarikat melalui resolusi bertulis. Tindakan tersebut disokong dengan surat MBI Terengganu bertarikh 29 Mei 2009 kepada YAB Menteri Kewangan. MBI Terengganu telah membangkitkan kelemahan yang serius dan menyatakan pendirian yang tidak setuju dengan kaedah terbitan IMTN yang tidak mengikut terma dan perancangan MBI Terengganu. Wakil MBI Terengganu dalam Lembaga Pengarah TIA, iaitu YAM Tengku Rahimah Puteri turut meletak jawatan sebagai Pengarah TIA pada 27 Mei 2009. Setelah peletakan jawatan ini, pada tarikh yang sama, satu resolusi Lembaga Pengarah TIA ditandatangani oleh Datuk Ismee dan Encik Shahrol Azral untuk meneruskan terbitan IMTN dan melantik semula Encik Shahrol Azral sebagai Pengarah TIA.
1.12. Pada 29 Mei 2009, TIA menerima hasil terbitan bersih IMTN sejumlah RM4.385 bilion daripada nilai penuh RM5 bilion. Ini adalah kerana IMTN diterbitkan pada harga RM87.92 bagi setiap RM100 nilai nominal, iaitu dengan kadar diskaun sebanyak 12.08%. Lembaga Pengarah TIA semasa mesyuarat pada 20 Ogos 20009 dimaklumkan bon ini diterbitkan pada kadar diskaun sedemikian berdasarkan saranan AmBank sebagai lead arranger untuk memastikan terbitan IMTN mendapat langganan penuh. Di samping itu, kadar faedah yang dikenakan ialah sebanyak 5.75% setahun dengan kadar pulangan efektif sebanyak 6.68% setahun. Semakan JAN mendapati jumlah kos terbitan IMTN sehingga tempoh matang adalah berjumlah RM13.625 bilion yang merangkumi RM5 bilion untuk bayaran prinsipal (perlu dibayar sekaligus pada tahun 2039) dan RM8.625 bilion untuk bayaran keuntungan kepada pemegang bon IMTN sepanjang tempoh 30 tahun. Kos transaksi berjumlah RM11.25 juta telah dibayar kepada AmBank sebagai arranger fee. Selain itu, trustee fee dan agency feeberjumlah RM7.14 juta juga perlu dibayar, iaitu pada kadar RM238,000 setahun selama 30 tahun.
1.13. MBI Terengganu juga telah menulis surat amaran bertarikh 29 Mei 2009 kepada AmBank yang didakwa terlibat dalam salah laku dan ketidakakuran semasa terbitan IMTN.
1.14. Jemaah Menteri telah dimaklumkan pada 3 Jun 2009 bahawa DYMM Sultan Terengganu telah meminta laporan disediakan mengenai Unauthorized Issuance of IMTN by TIA danReport of Managing Oil Royalty of the state of Terengganu as a Sovereign Wealth Fund with the Best Corporate Governance Practice and Transparency.
1.15.  Semasa mesyuarat pada 30 Jun 2009 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Encik Shahrol Azral menjelaskan surat arahan daripada Kerajaan Negeri Terengganu (surat bertarikh 27 Mei 20009 mengarahkan penerbitan IMTN ditangguhkan), hanya diterima selepas proses pemasaran yang bermula seminggu lebih awal, dan langganan ditutup pada 29 Mei 2009. Penerbitan IMTN diteruskan memandangkan tempoh arahan yang singkat serta untuk menjaga kredibiliti TIA sekiranya terbitan tersebut ditangguhkan. Manakala semasa temu bual JAN dengan Datuk Shahrol Azral pada bulan Jun 2015, mantan Ketua Pegawai Eksekutif TIA itu mengakui terbitan bon IMTN terpaksa diteruskan kerana perjanjian program yang ditandatangani pada 15 Mei 2009 merupakan satu bought deal di mana AmBank sebagai lead arranger dan primary subscriber telah mendapat langganan pasaran sekunder bagi terbitan bon tersebut.
1.16.  Semakan JAN mendapati semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 10 Oktober 2009, Encik Shahrol Azral memaklumkan terbitan IMTN disegerakan atas permintaan penasihat khas TIA dengan tujuan untuk membangunkan Pulau Bidong dengan kerjasama syarikat Mubadala pada tahun 2009. Pihak AmBank (yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut) juga telah mengesahkan penasihat khas TIA telah meminta terbitan bon disegerakan. Namun demikian, melalui kenyataan akhbar pada 23 Mei 2009, pihak Mubadala menafikan penglibatannya di Malaysia selain daripada projek di Wilayah Pembangunan Iskandar. Semakan JAN mendapati penasihat-penasihat khas TIA yang dilantik pada 8 April 2009 ialah Dato’ Abdul Aziz bin Mohd Akhir dan Encik Low Taek Jho.

2. PENGAMBILAN TIA OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN PERTUKARAN NAMA KEPADA 1MDB

2.1. Berikutan tindakan TIA meneruskan terbitan IMTN berjumlah RM5 bilion dan mengabaikan arahan MBI Terengganu agar menangguhkan program tersebut, Kerajaan Terengganu berusaha memisahkan entitinya daripada TIA, dengan menyerahkan TIA dan program IMTN untuk diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Mesyuarat berhubung TIA yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 16 Jun 2009 dan 30 Jun 2009 telah membincangkan dan bersetuju supaya Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) mengambil alih kawalan dan ekuiti dalam TIA yang akan dilepaskan oleh MBI Terengganu.
2.2. Pada 20 Julai 2009, Menteri Kewangan telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan melalui MKD mengambil alih TIA daripada MBI Terengganu. Antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:
a.  MKD membeli semua saham biasa yang dimiliki oleh MBI Terengganu dan membayar balik modal berbayar melibatkan keseluruhan bayaran berjumlah RM1,000,002.
b. Kerajaan Persekutuan akan terus menjadi penjamin bagi bon IMTN berjumlah RM5 bilion.
c. Terimaan terbitan IMTN dianggarkan berjumlah RM5 bilion hendaklah digunakan untuk pelaburan dalam bidang pembangunan utama yang strategik.
d. Implikasi kewangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi proses pengambilalihan TIA dianggarkan berjumlah RM1,550,002.
e. Terimaan pinjaman TIA disimpan dalam simpanan tetap di AmBank dan RHB Bank dengan bayaran faedah sebanyak 2.0% sahaja. Ini bermakna TIA mengalami kerugian faedah sebanyak 3.75% dalam tempoh 29 Mei 2009 hingga dana TIA dapat dilabur sepenuhnya.
f. Jumlah kerugian faedah dalam tempoh 29 Mei 20009 hingga 15 September 2009 sejumlah RM56 juta. Bayaran keuntungan kepada pemegang bon ialah setiap enam bulan sekali dan bayaran pertama sejumlah RM143.75 juta pada 30 November 2009. Bayaran balik pokok berjumlah RM5 bilion secara sekaligus pada tahun 2039.
2.3. Pada 31 Julai 2009, TIA telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Pada 11 Ogos 2009, tiga Lembaga Pengarah yang baru telah dilantik menjadikan Lembaga Pengarah seramai lima orang, iaitu Dato’ Mohd Bakke bin Salleh, Tan Sri Dato’ Che Lodin bin Wok Kamaruddin, Tan Sri Azlan bin Mohd Zainol, Datuk Ismee bin Ismail dan Encik Shahrol Azral bin Ibrahim Halmi. Pada 20 Ogos 2009, Encik Shahrol Azral bin Ibrahim Halmi (mantan Ketua Pegawai Eksekutif TIA Berhad) dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat tersebut berkuat kuasa serta-merta.
2.4. Pada 4 September 2009, resolusi Lembaga Pengarah TIA telah meluluskan pertukaran nama TIA kepada 1MDB. Nama ini telah diluluskan secara rasmi oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya pada 25 September 20009. Pihak JAN mendapati nama baru ini telah digunakan lebih awal dalam beberapa keadaan di mana nama 1MDB telah digunakan untuk surat pelantikan ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif bertarikh 17 September 2009. Pihak JAN mendapati surat pelantikan tersebut berkuat kuasa secarabackdated mulai 11 Ogos 2009. Menurut pihak Peguam Negara, tindakan ini dibolehkan dari segi komunikasi dan tiada isu perundangan.
2.5. Manakala surat daripada PetroSaudi International Ltd. (Arab Saudi) dan Prince Turki bertarikh 28 Ogos 2009 telah mencadangkan perkongsian jangka panjang dengan 1MDB. Ini menunjukkan pengurusan 1MDB telah berkomunikasi secara tidak rasmi dengan PetroSaudi International Ltd. dan menggunakan nama 1MDB sebelum Lembaga Pengarah meluluskan penggunaan nama 1MDB pada 4 September 2009.

3. PROJEK USAHA SAMA DENGAN PETROSAUDI INTERNATIONAL LIMITED

3.1. Cadangan Penubuhan Projek Usaha Sama

3.1.1. Projek usaha sama ini bermula menerusi surat Prince Turki bertarikh 28 Ogos 2009 kepada YAB Perdana Menteri Malaysia (YAB PM) yang melampirkan bersama surat daripada Encik Tarek Obaid (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd.) yang juga bertarikh 28 Ogos 2009 untuk memperkenalkan PetroSaudi International Ltd. kepada YAB PM. Surat tersebut kemudiannya dipanjangkan kepada pengurusan 1MDB untuk tindakan lanjut.
3.1.2. Surat Encik Tarek Obaid tersebut mengandungi cadangan pegangan saham 1MDB sebanyak 40% bernilai USD1 bilion dalam syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd. Manakala PetroSaudi International Ltd akan menyumbang aset dalam sektor tenaga bernilai USD2 bilion ke dalam syarikat usaha sama tersebut. Surat ini juga menyatakan PetroSaudi International Ltd. bersetuju untuk memberi diskaun penilaiangoodwill menjadikan sumbangan asetnya dinilai pada USD1.50 bilion.
3.1.3. Cadangan menetapkan nisbah pegangan, penyaluran tunai berjumlah USD1 bilion, nilai aset dan diskaun goodwill aset belum dinilai seperti dinyatakan dalam surat Encik Tarek Obaid menunjukkan projek ini telah dirancang lebih awal. Bagaimanapun, semakan JAN mendapati tiada sebarang makluman mengenai surat PetroSaudi International Ltd. dan Prince Turki berhubung cadangan usaha sama ini dibentangkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat khas membincangkan pelaburan tersebut. Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB menyatakan nisbah aset tunai terhadap syarikat usaha sama belum lagi dimuktamadkan semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 18 September 2009. Sekiranya cadangan usaha sama telah dimuktamadkan dan dikenal pasti dari peringkat awal lagi, Lembaga Pengarah 1MDB sepatutnya diberi penerangan secara terperinci oleh pihak pengurusan mengenai keputusan terhadap cadangan usaha sama ini, serta dimaklumkan tentang surat Prince Turki dan surat Encik Tarek Obaid semasa mesyuarat bertarikh 18 September 2009.

3.2.    Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 18 September 2009

3.2.1. Kertas cadangan projek usaha sama di bawah inisiatif antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi (yang disediakan oleh pegawai Bahagian Pelaburan, disemak oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan disokong serta diluluskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) telah dikemukakan untuk pertimbangan Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat pada 18 September 2009. Tiga objektif utama projek usaha sama ini adalah untuk membuat pelaburan di luar dan dalam Malaysia; untuk menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang di Malaysia; serta bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi.
3.2.2. Pada mesyuarat khas tersebut, Encik Casey Tang (Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB) semasa memberikan taklimat berhubung projek usaha sama ini kepada Lembaga Pengarah meminta kerjasama semua pihak untuk memastikan perjanjian usaha sama ini dapat dimeterai pada tarikh yang dirancang, iaitu 28 September 2009. Penetapan tarikh yang terlalu singkat sepatutnya tidak berlaku kerana keputusan pelaburan ini melibatkan jumlah yang besar tetapi tiada projek khusus yang memerlukan pelaburan segera.
3.2.3. Lembaga Pengarah 1MDB telah dimaklumkan bahawa projek ini merupakan urusan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi (G2G). Encik Casey Tang turut memaklumkan bahawa PetroSaudi International Ltd. adalah milik penuh Raja Abdullah dan Kerajaan Arab Saudi serta telah wujud sejak tahun 2000. Makluman oleh Encik Casey Tang ini turut diakui oleh beberapa ahli Lembaga Pengarah dan bekas Lembaga Pengarah 1MDB semasa temu bual pihak JAN bersama mereka pada bulan Jun 2015. Pihak JAN tidak dapat mengesahkan status sebenar pendaftaran syarikat ini sama ada PetroSaudi International Ltd. dimiliki oleh Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi. Semakan terhadap laman sesawang PetroSaudi International Ltd. mendapati syarikat ini hanya ditubuhkan pada tahun 2005, milik persendirian dan tiada kaitan pemilikan dengan Kerajaan Arab Saudi. Semakan JAN juga mendapati Encik Tarek Obaid merupakan pengarah tunggal kepada PetroSaudi International Ltd. berdasarkan dokumen Written Resolution of the Sole Director of the Company. Oleh itu, kenyataan yang dibuat oleh Encik Casey Tang didapati kurang tepat.
3.2.4. Pada 18 September 2009 juga, sebuah syarikat luar negara, iaitu PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited telah mendaftarkan satu syarikat dengan nama 1MDB PetroSaudi Limited di British Virgin Island (BVI). Syarikat ini kemudiannya digunakan sebagai syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Cadangan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd. hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB buat kali pertama juga dalam mesyuarat pada 18 September 2009. Pendaftaran 1MDB PetroSaudi Ltd. (BVI) menunjukkan bahawa pihak pengurusan 1MDB telah memutuskan lebih awal untuk menjalinkan kerjasama bersama PetroSaudi International Ltd. dan Lembaga Pengarah 1MDB hanya dimaklumkan kemudian. Tiada rekod yang menunjukkan Lembaga Pengarah 1MDB telah dimaklumkan sama ada special purpose vehicle, iaitu 1MDB PetroSaudi Ltd. (BVI) sudah didaftarkan atau ditubuhkan.
3.2.5. Semakan JAN terhadap beberapa dokumen berkaitan projek ini mendapati wujud empat syarikat berbeza yang didaftarkan dengan menggunakan asas nama PetroSaudi, seperti jadual berikut:

JADUAL 2.1

SENARAI SYARIKAT YANG DIDAFTARKAN MEMPUNYAI NAMA PETROSAUDI

NAMA SYARIKATTEMPAT PENDAFTARANTARIKH PENDAFTARAN
PetroSaudi International Ltd.Arab SaudiTahun 2005
PetroSaudi InternationalCayman Islands24 Februari 2009
PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.Cayman Islands18 September 2009
PetroSaudi International Ltd.SeychellesTiada Maklumat
Sumber: Dokumen Penubuhan Syarikat
3.2.6. Mengikut perjanjian usaha sama antara 1MDB dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. bertarikh 28 September 2009, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. telah dirujuk dengan singkatan ‘PSI’ manakala berdasarkan Written Resolution of the Sole Director of the Companyyang ditandatangani oleh Encik Tarek Obaid, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. telah dirujuk sebagai ‘PHS’. Kenyataan media bertarikh 30 September 2009 juga mengumumkan termeterainya usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd. (PSI), sedangkan sebenarnya perjanjian usaha sama tersebut ditandatangani dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Dalam kebanyakan kes, singkatan PSI sentiasa digunakan untuk PetroSaudi International Ltd. (Arab Saudi). Ini menunjukkan bahawa nama ringkas PSI digunakan dalam perjanjian usaha sama ini seolah-olah untuk memberi gambaran bahawa PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. adalah entiti yang sama dengan PetroSaudi International Ltd. (Arab Saudi). Lembaga Pengarah juga tidak menyedari bahawa PSI adalah merujuk kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Oleh itu, penggunaan nama singkatan PSI dalam perjanjian usaha sama ini adalah mengelirukan.
3.2.7. Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat pada 18 September 2009 telah memutuskan supaya tiga pengarah dilantik dan dua daripadanya mempunyai kelayakan profesional sebagai wakil 1MDB dalam syarikat usaha sama. Bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan cadangan tersebut dilaksanakan.
3.2.8. Lembaga Pengarah 1MDB mengarahkan pihak pengurusan untuk memastikan PetroSaudi International Ltd. menyumbang bahagian usaha samanya melalui 50% dalam bentuk wang tunai atau sekurang-kurangnya USD1 bilion dan 50% lagi dalam bentuk aset kepada syarikat usaha sama. Bagaimanapun, pihak pengurusan 1MDB tidak melaksanakan arahan Lembaga Pengarah sebaliknya telah melaksanakan cadangan Encik Tarek Obaid dalam surat bertarikh 28 Ogos 2009.
3.2.9. Lembaga Pengarah juga tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai PetroSaudi International Ltd. dan salah seorang ahli Lembaga Pengarah telah diarah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan profil PetroSaudi International Ltd. Profil ini tidak dikemukakan dan telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa maklumat sedang diperoleh. Bagaimanapun, berdasarkan temu bual JAN bersama ahli Lembaga Pengarah 1MDB, profil tersebut tidak pernah dibentang kepada Lembaga Pengarah sehingga perjanjian usaha sama ditandatangani. Perkara ini adalah di luar kebiasaan bagi perjanjian usaha sama yang melibatkan pelaburan tunai yang besar pada kadar segera.
3.2.10. Pada 18 September 2009, Lembaga Pengarah 1MDB telah meminta pihak pengurusan untuk berunding lebih lanjut dengan PetroSaudi International Ltd. dan menyelesaikan beberapa perkara penting sebelum memuktamadkan perjanjian seperti berikut:
a. Membuat rundingan bersama PetroSaudi International Ltd. bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB supaya mendapat terma-terma rundingan yang lebih baik. Perkara ini perlu dilaporkan semula kepada Lembaga Pengarah.
b. Melantik Dato’ Mohd Bakke dan Encik Shahrol Azral sebagai wakil korporat dalam setiap mesyuarat syarikat usaha sama setelah syarikat 1MDB didaftarkan sebagai pemegang saham syarikat usaha sama. Semakan JAN selanjutnya mendapati pelantikan Dato’ Mohd Bakke telah digantikan dengan Encik Casey Tang.
c. Cop mohor syarikat perlu dimeteraikan atas setiap dokumen yang berkaitan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd.
3.2.11. Ini jelas menunjukkan bahawa Lembaga Pengarah 1MDB telah memberikan kelulusan bersyarat kepada pihak pengurusan untuk menjalinkan usaha sama bersama PetroSaudi International Ltd. kerana mereka tidak menyedari wujudnya syarikat subsidiari lain yang mempunyai nama hampir-hampir sama, iaitu PetroSaudi International dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Perkara ini telah disahkan oleh beberapa Lembaga Pengarah dan bekas Lembaga Pengarah 1MDB semsa temu bual JAN pada bulan Jun 2015.

3.3 Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009

3.3.1. Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB telah diadakan pada 26 September 2009, iaitu dua hari sebelum projek usaha sama ditandatangani. Semasa mesyuarat ini, Lembaga Pengarah masih berbincang sama ada ingin meneruskan pelaburan dalam usaha sama ini.
3.2.2. Bagaimanapun, Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskan penyertaan dalam projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd. dengan langganan satu bilion saham biasa dalam 1MDB PetroSaudi Ltd. tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
a. Melantik jurunilai profesional bebas untuk menilai aset syarikat usaha sama;
b. Melantik tiga ahli mewakili 1MDB dalam Lembaga Pengarah syarikat usaha sama termasuk yang berpengalaman dalam sektor yang bersesuaian; dan
c. Sebagai wind up option, satu pihak akan menawarkan saham kepada pemegang saham yang lain pada nilai pasaran yang saksama atau pada nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan yang memiliki kepentingan dalam perjanjian.
3.3.3. Surat daripada jurunilai Edward L. Morse bertarikh 20 September 2009 memaklumkan kepada pengurusan 1MDB bahawa beliau akan dilantik oleh 1MDB dan 1MDB PetroSaudi Ltd. untuk melaksanakan penilaian bebas terhadap aset hidrokarbon milik PetroSaudi International Ltd. dan subsidiarinya. Bagaimanapun, sehingga mesyuarat pada 26 September 2009, Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan perkara ini.
3.3.4. Didapati perjanjian usaha sama menyatakan 1MDB layak melantik dua orang pengarah dalam komposisi Lembaga Pengarah syarikat usaha sama ini. Ini menunjukkan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB supaya melantik tiga ahli mewakili 1MDB dalam Lembaga Pengarah syarikat usaha sama tidak dipatuhi.
3.3.5.  Seterusnya diperhatikan, Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskan penggunaan cop mohor (common seal) pada semua dokumen usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd. Ini menunjukkan Lembaga Pengarah meluluskan penyertaan dalam projek usaha sama hanya dengan PetroSaudi International Ltd. dan bukannya dengan syarikat lain.

3.4   Perjanjian Usaha Sama bertarikh 28 September 2009

3.4.1. Pada 28 September 2009, perjanjian usaha sama telah ditandatangani antara 1MDB, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dan 1MDB PetroSaudi Ltd. di Kuala Lumpur. PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dan 1MDB PetroSaudi Ltd. diwakili oleh Encik Tarek Obaid, manakala 1MDB diwakili oleh Encik Shahrol Azral. Majlis ini turut disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan Prince Turki. Objektif syarikat usaha sama seperti dinyatakan dalam perjanjian usaha sama adalah:
a. “ To seek, explore, enter into and participate in business and economic opportunities within and outside of Malaysia; and
b. To enhance, strengthen and promote the future prosperity and economic development of Malaysia, to the extent that achievement of above-mentioned objectives would maximise the profits of the Company.”
3.4.2. Mengikut perjanjian usaha sama ini, 1MDB akan melabur sejumlah tunai USD1 bilion (40% pegangan ekuiti) manakala PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. menyumbang dalam bentuk aset yang bernilai tidak kurang daripada USD1.50 bilion (60% pegangan ekuiti) dalam syarikat usaha sama ini.
3.4.3.  Semakan JAN terhadap perjanjian usaha sama ini mendapati beberapa persoalan dan percanggahan maklumat dalam perjanjian tersebut. Syarikat usaha sama ini, iaitu 1MDB PetroSaudi Limited telah didaftarkan pada 18 September 2009 di British Virgin Island oleh PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited. Berdasarkan laporan carian Cayman Islands Registry of Companies, didapati PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited juga ditubuhkan pada 18 September 2009. Ini menunjukkan kedua-dua syarikat tersebut ditubuhkan pada tarikh yang sama.
3.4.4.   Dalam perjanjian usaha sama ada klausa yang menyatakan 1MDB PetroSaudi Ltd. (yang ditubuhkan pada 18 September 2009) telah menerima pinjaman pendahuluan sejumlah USD700 juta pada 25 September 2009 daripada syarikat induknya, iaitu PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Pinjaman pendahuluan tersebut perlu dibayar balik sepenuhnya pada atau sebelum 30 September 2009. Kewujudan pinjaman pendahuluan berjumlah USD700 juta untuk tempoh lima hari ini menimbulkan persoalan. Semakan JAN mendapati tiada minit atau dokumen yang menunjukkan Lembaga Pengarah 1MDB dimaklumkan tentang pinjaman pendahuluan USD700 juta tersebut sebelum perjanjian usaha sama ditandatangani. Di samping itu, temu bual pihak JAN dengan Lembaga Pengarah 1MDB (mantan dan semasa) pada bulan Jun 2015 mendapati pinjaman pendahuluan tersebut tidak pernah dibentang atau dibincangkan oleh pihak pengurusan 1MDB sebelum projek usaha sama tersebut dimuktamadkan. Salinan perjanjian pinjaman USD700 juta antara 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited yang ditandatangani oleh Encik Tarek Obaid mewakili kedua-dua syarikat tersebut telah dikemukakan oleh pengurusan 1MDB tetapi pihak JAN tidak dapat mengesahkannya dengan dokumen asal.
3.4.5. Walaupun draf perjanjian usaha sama tersebut dibincangkan semasa mesyuarat pada 18 September 2009 tetapi draf perjanjian tersebut juga tidak dapat diserahkan oleh 1MDB kepada JAN. Semakan JAN terhadap dokumen yang diberikan oleh Datuk Shahrol Azral kepada JAN pada 5 Jun 2015 mendapati Encik Brian Chia (Tetuan Wong & Partners) melalui emel bertarikh 30 September 2009 mempersoalkan surat meminta pembayaran balik pinjaman pendahuluan USD700 juta yang menggunakan letterhead PetroSaudi International Ltd., sedangkan yang memberi pinjaman pendahuluan tersebut ialah PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Emel tersebut bertarikh 30 September 2009 sedangkan pindahan wang untuk pembayaran pinjaman tersebut juga telah dibuat pada tarikh yang sama.
3.4.6. Perjanjian ini yang bertarikh 28 September 2009 juga menetapkan bahawa langganan saham satu bilion oleh 1MDB dalam syarikat usaha sama tersebut berjumlah USD1 bilion perlu dibayar sepenuhnya pada atau sebelum 30 September 2009. Ini menunjukkan 1MDB hanya diberi tempoh yang amat singkat (dua hari) untuk membuat bayaran USD1 bilion kepada 1MDB PetroSaudi Ltd. Lembaga Pengarah 1MDB pada mesyuarat bertarikh 26 September 2009 telah meluluskan pemindahan USD1 bilion ke akaun bank syarikat usaha sama untuk tujuan langganan saham dalam 1MDB PetroSaudi Ltd.
3.4.7. Pada 30 September 2009, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kelulusan pindahan dana ke dalam akaun usaha sama di J.P. Morgan SA dan RBS Coutts Bank Ltd. (Geneva). Seterusnya pada 30 September 2009 juga, sejumlah USD300 juta telah dipindahkan ke akaun 7619400 di J.P. Morgan (Suisse) SA, iaitu bank 1MDB PetroSaudi Ltd. Bagaimanapun, baki USD700 juta telah dipindahkan ke akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd., milik sebuah syarikat lain yang tidak terlibat dengan projek usaha sama ini. Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009. Semakan JAN juga mendapati tiada kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB untuk pemindahan wang ini ke dalam dua akaun yang berasingan.

3.5   Laporan Penilaian oleh Edward L. Morse bertarikh 29 September 2009

3.5.1. Jurunilai Edward L. Morse melalui suratnya bertarikh 20 September 2009 memaklumkan syarikatnya dilantik oleh 1MDB dan 1MDB PetroSaudi Ltd. untuk melaksanakan penilaian bebas terhadap aset hidrokarbon PetroSaudi International Ltd. dan subsidiarinya. Surat pelantikan ini ditandatangani oleh Encik Shahrol Azral pada 29 September 2009 iaitu pada hari yang sama laporan penilaian oleh Edward L. Morse juga bertarikh 29 September 2009, sehari selepas perjanjian usaha sama ditandatangani pada 28 September 2009. Dengan mengambil kira kompleksiti aset yang perlu dinilai, Edward L. Morse dapat mengeluarkan laporan penilaian tersebut dalam tempoh lapan hari.
3.5.2. Penilaian oleh Edward L. Morse Energy Advisory Services telah dilaksanakan terhadap aset (hak penerokaan dan pengeluaran minyak) milik PetroSaudi International Ltd. Manakala perjanjian usaha sama jelas menyatakan syarikat yang dimiliki kesemua hak dan kepentingan terhadap aset yang dipersetujui untuk projek usaha sama ini ialah PetroSaudi International Cayman, iaitu syarikat yang lain daripada PetroSaudi International Ltd. Perjanjian usaha sama turut menyatakan bahawa pada tarikh perjanjian, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. telah memindahkan kesemua saham yang diterbitkan bagi PetroSaudi International Cayman  (yang memiliki kesemua hak dan kepentingan terhadap aset dengan anggaran nilai USD2.70 bilion) kepada 1MDB PetroSaudi Ltd. Laporan ini juga tidak dapat mengesahkan aset yang dimiliki oleh PetroSaudi Turkmenistan 1 Limited (syarikat Jersey) dan Petro Saudi Ltd. Inc. (syarikat Panama). Pemilikan sebenar aset yang terlibat dalam projek usaha sama ini tidak dapat disahkan kerana tiada dokumen dikemukakan kepada juruaudit-juruaudit 1MDB mahupun JAN bagi membuktikan tarikh sebenar aset PetroSaudi International Cayman telah dipindah milik kepada 1MDB PetroSaudi Ltd.
3.5.3.  Laporan ini adalah berkaitan dengan hak penerokaan dan pengeluaran minyak pelbagai lokasi di Argentina dan Turkmenistan. Mengikut perkara 1.1 mengenai Overview of Assets dalam laporan penilaian menyatakan, jurunilai hanya menyemak project economicstanpa menilai sumber geologi, property rights termasuk contractual rights to the field. Ini menunjukkan hak pengeluaran minyak untuk Blok 3 kawasan di Turkmenistan dan Argentina masih belum disahkan. Perkara ini disebabkan kawasan tersebut telah lama menjadi pertikaian antara pelbagai pihak. Maklumat yang terhad ini merupakan kekangan terhadap laporan penilaian tersebut.
3.5.4. Dalam laporan ini juga dijelaskan bahawa blok tersebut pada asalnya dimiliki oleh Buried Hill Energy, sebuah syarikat yang didaftarkan di Panama melalui perjanjian jual beli dengan Kerajaan Turkmenistan. Bagaimanapun, pemilikan semasa bagi hak ke atas blok tersebut tidak dinyatakan. Oleh itu, persetujuan untuk menerima aset sebagai ekuiti dalam pelaburan usaha sama ini boleh dianggap sebagai tidak realistik dan berisiko tinggi.
3.5.5. Laporan ini juga menyatakan banyak kekangan, antaranya PetroSaudi International Ltd. tidak dapat menyediakan modal aliran tunai yang boleh digunakan untuk perbandingan dengan aset di Turkmenistan kerana tidak mempunyai keupayaan menilai evolving royalty and fiscal regimes serta menyemak prosedur perbandingan nilai. Ini menunjukkan PetroSaudi International Ltd. tidak mempunyai kepakaran untuk berurusan dengan aset yang kompleks. Manakala perenggan 4 laporan penilaian pula menyatakan aset di Argentina adalah aset luar jangka yang tidak boleh diniagakan dan bukan rizab. Bagaimanapun, aset telah dinilai berdasarkan anggaran tinggi dan rendah (high & low estimates) yang menunjukkan risiko yang tinggi terhadap aset di Argentina. Ini menunjukkan 1MDB gagal menilai andaian yang digunakan oleh jurunilai berkaitan dengan pengeluaran, harga petroleum, kadar diskaun serta perbelanjaan modal dan operasi. Laporan penilaian ini hanya menilai hak terhadap aset sahaja dan bukannya nilai syarikat yang memiliki aset ini. Oleh itu, nilai bersih syarikat ini juga tidak dinyatakan. Semua kekangan tersebut merupakan risiko terhadap ketepatan laporan penilaian tersebut.
3.5.6. Dalam mesyuarat pada 3 Oktober 2009, Lembaga Pengarah 1MDB menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kebolehpercayaan laporan penilaian ini kerana ia telah disediakan dalam tempoh yang singkat memandangkan sebelum ini mereka dimaklumkan laporan penilaian akan mengambil masa beberapa bulan dan hanya boleh disediakan pada bulan Mac 2010. Klausa dalam perjanjian usaha sama yang menetapkan 1MDB perlu melantik jurunilai bebas untuk menilai aset PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dan laporan perlu dikemukakan pada atau sebelum 30 September 2009 adalah suatu penetapan yang tidak munasabah. Lembaga Pengarah 1MDB dalam mesyuarat tersebut juga meminta pengurusan mendapatkan laporan penilaian dan mengaturkan penerangan oleh Edward L. Morse pada mesyuarat seterusnya. In menunjukkan keputusan pelaburan tersebut dibuat sebelum laporan penilaian aset dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk diteliti atau diberi penerangan berhubung aset yang dimiliki oleh rakan usaha sama.

3.6.  Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 3 Oktober 2009

3.6.1. Pada mesyuarat ini, Lembaga Pengarah 1MDB menyuarakan rasa tidak berpuas hati apabila arahan mereka ditelah diabaikan dan penggunaan dana telah disalurkan kepada pihak lain tanpa pengetahuan mereka. Pandangan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah adalah seperti berikut:
a.   Lembaga Pengarah tidak dimaklumkan mengenai perubahan rancangan untuk memindahkan sejumlah USD700 juta daripada 1MDB ke dalam akaun yang bukannya milik syarikat usaha sama.
b.   Lembaga Pengarah juga tidak dimaklumkan mengenai penukaran akaun bank syarikat usaha sama daripada Bank BSI-SA (Geneva) kepada J.P. Morgan (Suisse) Geneva. Ini menimbulkan persoalan kerana semakan JAN mendapat kelulusan menukar akaun bank ini ada dibuat melalui resolusi bertarikh 30 September 2009 (iaitu pada tarikh yang sama pindahan wang dibuat), tetapi temu bual JAN dengan beberapa bekas Lembaga Pengarah mendapati mereka tidak menyedari kewujudan resolusi ini walaupun tandatangan mereka ada pada resolusi tersebut.
c.   Lembaga Pengarah juga kurang jelas mengenai status pemilikan aset yang dipegang oleh syarikat usaha sama dan kualiti aset yang dipindahkan kepada syarikat usaha sama termasuk inherent/potential risks berkaitan dengan aset tersebut.
d.   Lembaga Pengarah turut menyatakan pelaburan sebesar ini memerlukan pertimbangan secara menyeluruh dan terperinci serta perlu melalui proses due diligence.
e.   Lembaga Pengarah berpendapat bahawa kesemua tindakan telah dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat dan telah berkompromi dengan kawalan dan check and balance utama yang penting untuk melindungi kepentingan 1MDB. Lembaga Pengarah juga berasa hairan dengan kepantasan laporan penilaian yang disediakan oleh Edward L. Morse.
f.        Lembaga Pengarah telah memberi arahan tegas kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan 1MDB supaya tidak menyimpang daripada arahan yang diberikan dan patuh kepada prosedur yang telah dipersetujui.
g.   Lembaga Pengarah berpendapat pihak pengurusan telah mengabaikan teras utama syarikat iaitu untuk memberi tumpuan menarik pelaburan asing ke Malaysia.
3.6.2.   Sehubungan itu, Lembaga Pengarah 1MDB mengarahkan pihak pengurusan untuk mengambil tindakan pembetulan seperti berikut:
a.   Menentukan sama ada sejumlah USD700 juta daripada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dapat dikembalikan semula supaya dana tersebut dapat disalurkan mengikut ketetapan asal;
b.   Mendapatkan pengesahan bertulis daripada JP Morgan mengenai kelulusan penggunaan dana yang disimpan di dalam akaun bersama;
c.   Mendapatkan pengesahan bertulis bahawa aset yang disuntik oleh PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. telah dimiliki oleh syarikat usaha sama dan mendapatkan sesalinan laporan penilaian oleh Edward L. Morse serta pandangan perundangan untuk pertimbangan Lembaga Pengarah;
d.   Mengatur pertemuan dengan wakil jurunilai Edward L. Morse dan penasihat undang-undang untuk memberi taklimat kepada Lembaga Pengarah dalam mesyuarat Lembaga Pengarah seterusnya.
e.   Mendapatkan pengesahan bertulis mengenai kualiti aset (termasuklah kualiti dan jangka hayat telaga minyak, risiko politik dan risiko lain yang berpotensi berkaitan aset yang diletakkan dalam syarikat usaha sama); dan
f.        Lembaga Pengarah masih tidak berpuas hati dan mengarahkan pihak pengurusan untuk melantik jurunilai bebas bagi menilai semula aset dalam syarikat usaha sama.
3.6.3.   Berdasarkan bukti dokumen dan temu bual dengan bekas Lembaga Pengarah 1MDB, semakan JAN mendapati arahan-arahan Lembaga Pengarah tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan 1MDB. Diperhatikan kelulusan yang diberikan oleh Lembaga Pengarah adalah untuk kerjasama dengan PetroSaudi International Ltd. dan bukannya dengan subsidiarinya, iaitu PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.
3.6.4.  Adalah didapati pengurusan 1MDB telah berulang kali tidak mematuhi arahan khusus yang diberikan oleh Lembaga Pengarah. Antaranya adalah seperti berikut:
a. Menandatangani perjanjian usaha sama pada 28 September 2009 sebelum mengambil tindakan terhadap perkara-perkara yang disyaratkan oleh Lembaga Pengarah. Ini menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan 1MDB ditegur dan diberi amaran keras pada mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 3 Oktober 2009.
b.       Tidak melaksanakan penilaian kedua terhadap aset syarikat usaha sama sebagaimana diarahkan oleh Lembaga Pengarah pada 3 Oktober 2009.
3.6.5.   Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB didapati tidak mematuhi arahan, garis panduan dan tadbir urus korporat, Lembaga Pengarah 1MDB masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap beliau.

3.7.  Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 10 Oktober 2009

3.7.1.   Semasa mesyuarat ini, Lembaga Pengarah 1MDB membangkitkan tentang keperluan penilaian aset di mana pihak pengurusan diminta mendapatkan 10 nama jurunilai yang berwibawa untuk disenaraipendekkan dan mendapatkan kelulusan Pengerusi Lembaga Penasihat. Dengan itu, pihak pengurusan boleh berbincang dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. bagi pelantikan jurunilai kedua.
3.7.2.   Selanjutnya, Lembaga Pengarah 1MDB telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB menyediakan kertas ringkasan komprehensif kepada Pengerusi Lembaga Penasihat yang mengandungi kronologi peristiwa berkaitan perjanjian usaha sama, status pembiayaan dan ketidakpuasan hati Lembaga Pengarah 1MDB terhadap laporan penilaian aset PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. Bagaimanapun, semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 7 November 2009, Encik Shahrol Azral memaklumkan penilaian kedua tidak perlu dibuat terhadap aset syarikat usaha sama tersebut kerana Pengerusi Lembaga Penasihat tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB melantik sebuah syarikat perunding bagi menilai pemilikan syarikat  usaha sama. Namun demikian, semakan JAN mendapati tiada dokumen yang dapat membuktikan pelantikan berunding tersebut telah dibuat.
3.7.3.   Semakan JAN mendapati perjanjian usaha sama tersebut mempunyai klausa yang menetapkan semua laporan kewangan, akaun dan operasi perlu dikemukakan kepada pemegang saham secara suku tahunan. Bagaimanapun, dokumen berkenaan tidak dapat dikemukakan oleh 1MDB untuk semakan JAN. Dalam tempoh projek usaha sama, Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan di mana dana tersebut telah dilabur oleh syarikat usaha sama walaupun Encik Shahrol Azral dan Encik Tang Keng Chee dilantik sebagai wakil 1MDB dalam syarikat usaha sama tersebut. Pihak JAN juga tidak dikemukakan sebarang dokumen untuk membuktikan pelaburan yang telah dibuat oleh syarikat usaha sama ini.
3.7.4.   Namun demikian, walaupun Lembaga Pengarah 1MDB tidak berpuas hati dengan beberapa tindakan pengurusan 1MDB, JAN mendapati tiada bukti bahawa perkara ini telah dirujuk kepada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB secara bertulis. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat PAC pada 19 Januari 2015 memaklumkan secara keseluruhannya Lembaga Pengarah 1MDB memang tidak berpuas hati dengan cara pihak pengurusan mengendalikan urusan-urusan berkaitan projek usaha sama tersebut tetapi bersetuju menerima penjelasan lanjut dan pengesahan yang diberi oleh pengurusan 1MDB.
3.7.5.   Analisis JAN merumuskan keputusan membuat pelaburan ekuiti dalam syarikat usaha sama tersebut, iaitu 1MDB PetroSaudi Limited merupakan satu tindakan tanpa perancangan strategik kerana dibuat dalam tempoh lapan hari, tanpa penilaian terperinci serta sebelum menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh Lembaga Pengarah tersebut dahulu. Perjanjian usaha sama juga mengandungi klausa-klausa yang tidak menjaga kepentingan syarikat

4. PENUKARAN KEPENTINGAN EKUITI DALAM SYARIKAT USAHA SAMA KEPADA NOTA MURABAHAH

4.1.  Selepas hanya enam bulan, projek usaha sama tersebut telah dicadang untuk ditamatkan dan ditukar kepada bentuk pelaburan lain. Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 1 Mac 2010, pelupusan ekuiti dalam syarikat usaha sama didapati tidak dibincangkan. Walau bagaimanapun, Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertarikh 22 Mac 2010 telah bersetuju untuk melupuskan kesemua 40% pegangan ekuiti bernilai USD1 bilion dalam syarikat usaha sama, iaitu 1MDB PetroSaudi Ltd. dengan balasan berjumlah USD1.20 bilion melalui terbitan Nota Murabahah di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabahah. Pada tarikh yang sama, pelupusan ekuiti dan penerbitan Nota Murabahah diluluskan secara bertulis melalui Special Rights Redeemable Preference Shareholders dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Walaupun di peringkat awal pelaburan dalam usaha sama ini dijangka akan menjana kadar pulangan pelaburan (IRR) sebanyak 15% tetapi sehingga projek usaha sama ditamatkan, tiada keuntungan yang diterima bagi tempoh enam bulan tersebut. Sebaliknya, hanya keuntungan tidak nyata direkodkan hasil daripada penilaian aset projek usaha sama berjumlah USD200 juta di mana nilai tersebut telah ditetapkan lebih awal. Temu bual JAN dengan beberapa Lembaga Pengarah 1MDB dan Tetuan KPMG mendapati keputusan pertukaran pelaburan ekuiti ini kepada pelaburan Nota Murabahah dibuat bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil kepada 1MDB melalui pendapatan faedah setiap tahun untuk memenuhi keperluan tunainya bagi membiayai obligasi kewangan dan projek berbanding dengan pulangan daripada pelaburan ekuiti yang mengambil masa yang panjang untuk diterima semula. Ini menunjukkan keputusan membuat pelaburan dalam projek usaha sama adalah bukan satu keputusan yang tepat.
4.2.  Pada 31 Mac 2010, perjanjian usaha sama ini dibatalkan dan 1MDB memeterai perjanjian Share Sale Agreement (SSA) untuk menjual semua pegangan ekuitinya dalam syarikat usaha sama tersebut dengan harga USD1.20 bilion melalui kaedah melanggan Nota Murabahah pada kadar keuntungan sebanyak 8.67% setahun. Nilai prinsipal berjumlah USD1.20 bilion akan diterima secara bayaran sekaligus pada tarikh matang, iaitu 31 Mac 2021. Nota Murabahah yang diterbitkan oleh 1MDB PetroSaudi Ltd. ini disokong oleh jaminan korporat daripada PetroSaudi International Ltd. melalui Perjanjian Jaminan Korporat bertarikh 31 Mac 2010. 1MDB sepatutnya membuat penilaian terperinci tentang keupayaan kredit syarikat tersebut sebelum menerima jaminan korporat tersebut. Tiada sebarang bukti mengesahkan bahawa penilaian keupayaan kredit PetroSaudi International Ltd. telah dilakukan dan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.
4.3.  Bagaimanapun, dokumen berkaitan tarikh sebenar penamatan projek usaha sama dan persetujuan langganan Nota Murabahah yang dikeluarkan oleh 1MDB PetroSaudi Ltd. didapati bercanggah dan mengelirukan. Salinan perjanjian yang diterima oleh JAN dan salinan perjanjian dalam kertas kerja Tetuan KPMG menunjukkan tarikh perjanjian adalah pada 31 Mac 2010. Tarikh kuat kuasa perjanjian yang ditakrifkan dalam perenggan 3.3 menyatakan “This letter shall cease to be conditional upon the date (The “Effective Date”) on which all the conditions precedent referred in clause 3.1 have been fulfilled”. Antara syarat yang dinyatakan dalam perenggan 3 dan fasal 3.1 (a) ialah pemegang saham syarikat perlu sebulat suara meluluskan secara bertulis berkaitan pembelian saham daripada 1MDB. Namun, semakan lanjut mendapati resolusi pemegang saham 1MDB PetroSaudi Ltd. yang meluluskan pembelian semula saham yang dipegang oleh 1MDB adalah bertarikh 14 Jun 2010. Oleh itu, urus niaga jualan ini tidak sah dari segi perundangan sehingga mendapat kelulusan pemegang saham 1MDB PetroSaudi Ltd.
4.4.  Semakan terhadap beberapa dokumen lain yang dikemukakan, juga menunjukkan tarikhThe Letter of Share Purchase Agreement sebenarnya berkuatkuasa pada 14 Jun 2010, dan bukannya 31 Mac 2010, seperti berikut:
a.   Resolusi Lembaga Pengarah 1MDB Bil 17/2011 telah dilampirkan bersama cabutan Perjanjian Pembiayaan Murabahah bertarikh 14 Jun 2010 menunjukkan tarikh kuat kuasa adalah pada 14 Jun 2010 dan tarikh genap setahun sebagai 14 Jun 2011.
b.   Resolusi Lembaga Pengarah 1MDB Bil. 25A/2012 juga menyatakan tarikh Perjanjian Pembiayaan Murabahah sebagai 14 Jun 2010.
c.   Notis Pengeluaran (Notice of Drawing) bertarikh 12 Mei 2011 yang dikeluarkan oleh 1MDB PetroSaudi Ltd. kepada 1MDB yang ditandatangani oleh Encik Tarek Obaid menunjukkan tarikh dokumen Perjanjian Pembiayaan Murabahah adalah pada 14 Jun 2010.
4.5.  Perjanjian Pembiayaan Murabahah menyatakan definisi availability period permohonan pembiayaan tambahan ialah “The period commencing on effective date and ending on first anniversary of the effective date”. Jika tarikh kuat kuasa ialah 31 Mac 2010, maka tarikh genap setahun sepatutnya 31 Mac 2011. Bagaimanapun, permohonan pembiayaan tambahan telah dibuat melalui notis pengeluaran pada 12 Mei 2011, dan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB diperoleh melalui dua resolusi masing-masing bertarikh 16 Mei 2011 dan 24 Oktober 2011. Seterusnya, dana telah dihantar pada bulan Mei dan Oktober 2011. Ini menunjukkan tarikh genap setahun bukan pada bulan Mac 2011 tetapi selepas tarikh permohonan pembiayaan tambahan pertama.
4.6.  Tetuan Ernst & Young (EY) yang turut hadir dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 5 April 2010 memaklumkan bahawa salah satu skop utama pengauditan mereka adalah pelaburan dalam syarikat usaha sama khususnya penilaian aset yang disuntik ke dalam syarikat usaha sama. Tetuan EY menjelaskan bahawa penukaran 40% pegangan ekuiti kepada instrumen hutang memerlukan penilaian aset yang saksama pada tarikh perolehan dan pelupusan ekuiti. Bagaimanapun, 1MDB hanya mempunyai satu daripada dua laporan penilaian aset yang sepatutnya disediakan. Penilaian bertarikh 29 September 2009 yang disediakan oleh Edward L. Morse didapati tidak mencukupi untuk mewajarkan keuntungan sejumlah USD200 juta kerana ia adalah berdasarkan kepada laporan penilaian awal yang disediakan pada masa perolehan ekuiti, dan bukannya semasa pelupusannya.
4.7.  Kegagalan 1MDB mengemukakan dokumen bagi mengesahkan pemilikan dan penilaian aset tersebut pada 31 Mac 2010 menjadi asas perbezaan pendapat antara pengurusan 1MDB dan juruaudit. Pelantikan Tetuan EY sebagai juruaudit ditamatkan melalui resolusi bertulis Lembaga Pengarah 1MDB, Special Rights Redeemable Preference Shareholders dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang kesemuanya bertarikh 15 September 2010. Menurut Datuk Shahrol Azral semasa mesyuarat PAC pada 11 Februari 2016, pertukaran juruaudit syarikat ini dibuat selaras dengan pertukaran pemegang saham 1MDB daripada pegangan oleh MBI Terengganu (di bawah nama TIA) kepada MKD (di bawah nama 1MDB).
4.8.  Semakan JAN mendapati 1MDB telah merekodkan keuntungan sejumlah RM651.80 juta (USD200 juta) dalam penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2010 hasil daripada penjualan ekuiti ini dan penukaran kepada Nota Murabahah. Tetuan KPMG yang dilantik pada 15 September 2010 bagi menggantikan Tetuan EY telah mengesahkan transaksi tersebut semasa pengauditannya bersandarkan Surat Representasi Pengurusan yang dikeluarkan oleh 1MDB bertarikh 4 Oktober 2010. Surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB menyatakan bahawa Share Sale Agreement telah dimeterai pada 31 Mac 2010 dan bukannya 14 Jun 2010. Salinan Perjanjian Pembiayaan Murabahah yang diberikan kepada Tetuan KPMG menunjukkan ianya bertarikh 31 Mac 2010. Ini menunjukkan usaha pengurusan 1MDB pada ketika itu mengemukakan dokumen yang berjaya meyakinkan Tetuan KPMG bahawa urusan penukaran ekuiti kepada pinjaman telah berlaku pada tarikh 31 Mac 2010, iaitu hari terakhir bagi tempoh kewangan syarikat tahun 2010. Perubahan tarikh perjanjian itu menyebabkan 1MDB terlebih nyata keuntungan (overstatement of profit) berjumlah RM651.80 juta (USD200 juta) dalam penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2010, di mana keuntungan itu sepatutnya direkodkan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.

5.     PELABURAN TAMBAHAN DALAM NOTA MURABAHAH

5.1.  Semakan JAN mendapati Perjanjian Pembiayaan Murabahah mengandungi klausa tertentu yang membolehkan 1MDB PetroSaudi Ltd. memohon pelaburan tambahan daripada 1MDB dalam tempoh satu tahun dari tarikh kuat kuasa Perjanjian Pembiayaan Murabahah (availability period). Justifikasi sebenar berkenaan klausa ini dalam Perjanjian Pembiayaan Murabahah tidak diketahui, terutamanya apabila dana yang diperoleh oleh 1MDB untuk membiayai pelaburan dan operasinya adalah melalui hutang dan sebahagiannya dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
5.2.  Semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 5 Julai 2010, pihak pengurusan mencadangkan untuk melabur dalam satu lagi projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd. melalui pembelian 4.23% pegangan ekuiti dalam GDF Suez SA di Perancis pada nilai USD2.50 bilion, iaitu 20% diskaun daripada nilai pasaran semasa. Lembaga Pengarah 1MDB telah meminta pihak pengurusan mendapatkan nasihat daripada Pengerusi Lembaga Penasihat sama ada 1MDB boleh terlibat dalam pelaburan ini. Selain itu, Lembaga Pengarah 1MDB meminta pihak pengurusan menilai secara terperinci sama ada membuat pelaburan melalui pegangan ekuiti secara langsung atau pembiayaan tambahan Nota Murabahah. Lembaga Pengarah 1MDB telah mencadangkan pihak pengurusan melantik pihak bebas untuk menjalankan semakan latar belakang GDF Suez SA. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen untuk mengesahkan cadangan tersebut telah dilaksanakan.
5.3.  Dalam mesyuarat antara Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Pengerusi Lembaga Penasihat pada 21 Julai 2010, Pengerusi Lembaga Penasihat telah dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskan dan bersetuju dengan cadangan pengurusan berhubung pelaburan tersebut. Sehubungan itu, Pengerusi Lembaga Penasihat telah bersetuju dengan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB dengan syarat pihak pengurusan mesti menjalankan analisis risiko berkaitan pelaburan tersebut termasuk legal and financial due diligence.
5.4.  Seterusnya, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 24 Julai 2010, Encik Shahrol Azral memaklumkan bahawa Pengerusi Lembaga Penasihat telah bersetuju untuk menyokong keputusan Lembaga Pengarah untuk membuat pelaburan dalam Projek GDF Suez SA. Sehubungan itu, Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertarikh 9 September 2010 bersetuju untuk membuat langganan tambahan Nota Murabahah berjumlah USD500 juta yang dikeluarkan oleh 1MDB PetroSaudi Ltd., sebagai mekanisme perolehan pelaburan ekuiti dalam sebuah syarikat senaraian awam di luar negara. Bagaimanapun, didapati Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan tentang syarat yang diberikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat supaya melaksanakan analisis risiko dan due diligence.
5.5.  Pada 6 September 2010, BNM telah memberi kebenaran kepada 1MDB memberi pinjaman mata wang asing berjumlah USD500 juta kepada 1MDB PetroSaudi Ltd. dalam bentuk langganan Nota Murabahah dengan mengambil maklum tujuan yang dinyatakan oleh 1MDB, iaitu untuk membiayai sebahagian kos perolehan 4% pegangan ekuiti dalam sebuah syarikat senaraian awam di Perancis. Seterusnya, pada 14 September 2010, sejumlah USD500 juta telah dibayar ke dalam akaun 1MDB PetroSaudi Ltd. bernombor 7619400 di J.P. Morgan (Suisse) SA (Geneva). Bagaimanapun, 1MDB tidak dapat memberikan dokumen kepada pihak JAN untuk membuktikan atau mengesahkan bahawa pegangan ekuiti di GDF Suez SA melalui PetroSaudi International Ltd. telah dibuat.
5.6.  Pada 12 Mei 2011, 1MDB PetroSaudi Ltd. memohon pelaburan tambahan daripada 1MDB berjumlah USD330 juta. Ianya telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB melalui resolusi Lembaga Pengarah 1MDB dan resolusi pemegang saham 1MDB yang kedua-duanya bertarikh 16 Mei 2011. Pada 20 Mei 2011, kebenaran diberi oleh BNM untuk 1MDB memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah USD330 juta kepada 1MDB PetroSaudi Ltd. bagi tujuan langganan Nota Murabahah yang diterbitkan oleh 1MDB PetroSaudi Ltd. dengan jaminan korporat daripada PetroSaudi International Ltd. BNM juga dimaklumkan dana tersebut akan digunakan untuk membiayai projek dalam sektor minyak dan gas. Seterusnya, pindahan wang kepada 1MDB PetroSaudi Ltd. berjumlah USD330 juta telah dibuat dalam empat peringkat kiriman dana, yang kesemuanya telah dikreditkan ke akaun 11116073.2000 milik PetroSaudi International Ltd. (Saudi), iaitu tiga kiriman pada bulan Mei 2011 dan satu kiriman pada 25 Oktober 2011. Bagaimanapun, 1MDB tidak dapat memberikan dokumen kepada pihak JAN untuk membuktikan 1MDB PetroSaudi Ltd. telah menggunakan dana tersebut untuk membiayai projek dalam sektor minyak dan gas.
5.7. Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 menghendaki setiap permohonan yang dibuat kepada BNM perlu dikemukakan bersama maklumat yang tepat dan lengkap berhubung cadangan pelaburan yang akan dibuat di luar negara. Semakan JAN mendapati kebenaran yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB pada 6 September 2010 adalah untuk membiayai sebahagian kos memperoleh pegangan ekuiti dalam sebuah syarikat senaraian awam di Perancis. Manakala kebenaran pada 20 Mei 2011 diberi untuk 1MDB memberi pinjaman mata wang asing kepada PetroSaudi BVI menggunakan dana tersebut bagi membiayai projek dalam sektor minyak dan gas. Kenyataan media oleh BNM pada 9 Oktober 2015 berhubung siasatan terhadap 1MDB menyatakan maklumat yang diberikan oleh 1MDB semasa permohonan adalah tidak tepat atau tidak lengkap. Oleh itu, BNM telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 untuk pelaburan di luar negara berjumlah USD1.83 bilion. BNM juga telah mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik ke Malaysia sejumlah USD1.83 bilion dan mengemukakan perancangan berkaitan perkara ini.
5.8.  Semakan JAN mendapati 1MDB telah merekodkan pulangan daripada pelaburan Nota Murabahah bagi tempoh bulan April 2010 hingga 31 Mac 2012 berjumlah RM835.38 juta dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan 2010 hingga 2012. Butiran terperinci adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 2.2.

PELABURAN NOTA MURABAHAH DAN PULANGAN YANG DIREKODKAN DALAM TAHUN KEWANGAN BERAKHIR 31 MAC 2010 HINGGA 31 MAC 2012
TAHUN KEWANGANPELABURANKADAR FAEDAH (%)TEMPOH MATANGPULANGAN(RM Juta)
(USD Juta)(RM juta)TUNAIBELUM TERIMA
20101,200.004,139.128.67Mac 2021
2011500.001,571.008.25Mac 2015245.8478.96
2012330.001,018.808.25Mac 2021510.58
JUMLAH2,030.006,728.92245.84589.54
Sumber: Penyata Kewangan 1MDB
5.9.  Ini menunjukkan 1MDB hanya menerima pulangan tunai sejumlah RM245.84 juta daripada RM6.728 bilion (USD2.03 bilion) pelaburan dalam Nota Murabahah. Manakala baki pulangan yang belum terima berjumlah RM589.54 juta diambil kira dalam pelaburan Kumpulan 1MDB seterusnya.

6. PENUKARAN NOTA MURABAHAH KEPADA EKUITI PETROSAUDI OIL SERVICES LIMITED (PSOSL)

6.1.  1MDB merekodkan Nota Murabahah dengan nilai RM6.80 bilion (USD2.22 bilion) pada tarikh nilaian 31 Mac 2012 selepas mengambil kira keuntungan belum terima yang dipermodalkan sejumlah RM589.54 juta dan kerugian pertukaran mata wang asing sejumlah RM516.11 juta. Setelah 27 bulan melabur dalam Nota Murabahah, pada 1 Jun 2012, 1MDB telah menebus semula Nota Murabahah (termasuk keuntungan belum terima) berjumlah USD2.22 bilion (RM6.80 bilion) melalui asset swap arrangement di mana subsidiari 1MDB, iaitu 1MDB International Holdings Ltd. (1MDB-IHL) mengambil alih 49% kepentingan ekuiti dalam PetroSaudi Oil Services Ltd. (PSOSL). PSOSL adalah syarikat milik penuh PetroSaudi International Ltd. 1MDB-IHL juga memeterai call and put option dengan PetroSaudi International Ltd. bagi mengambil alih baki 51% pegangan ekuiti dalam PSOSL pada harga opsyen USD10. Tarikh matang opsyen tersebut ialah pada 31 Disember 2015.
6.2.  Kronologi peristiwa berhubung proses penukaran Nota Murabahah kepada ekuiti PSOSL dinyatakan seperti berikut:
a.       Pihak pengurusan 1MDB memaklumkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 8 Februari 2012 berkenaan pelantikan Baker & Mckenzie sebagai penasihat undang-undang, Lloyds Register sebagai penasihat teknikal dan Lazard sebagai penasihat kewangan untuk menilai dan melaksanakan due diligence aset PSOSL yang mana telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah.
b.       Semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 2 Mac 2012, Encik Shahrol Azral mencadangkan penebusan Nota Murabahah dan perolehan pegangan ekuiti dalam PSOSL. Beliau juga memaklumkan cadangan terperinci akan dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 19 Mac 2012.
c.       Resolusi Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 2 Mac 2012 telah memutuskan satu syarikat dengan nama 1MDB International Holdings Limited (1MDB-IHL) ditubuhkan di British Virgin Islands bagi cadangan perolehan kepentingan ekuiti dalam PSOSL.
d.       Semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 19 Mac 2012, Encik Shahrol Azral menerangkan bahawa kontrak penggerudian PSOSL akan tamat dalam bulan Jun 2012 dan dijangka akan dilanjutkan pada minggu tersebut. Pihak pengurusan diminta memastikan kontrak PSOSL dilanjutkan sebelum cadangan perolehan tersebut dibentangkan.
e.       Dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 18 Jun 2012, Datuk Shahrol Azral memaklumkan bahawa terma dan struktur cadangan berhubung dengan penebusan pembiayaan Nota Murabahah dan perolehan ekuiti PSOSL sedang dimuktamadkan yang mana akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
f.        Bagaimanapun, dua resolusi Lembaga pengarah 1MDB masing-masing bertarikh 20 Jun 2012 memutuskan penamatan Perjanjian Pembiayaan Murabahah dan perolehan 49% kepentingan ekuiti dalam PSOSL dengan commercial arrangement for a 100% economic benefit.
6.3.  Tindakan penukaran Nota Murabahah kepada saham ekuiti PSOSL adalah tidak selaras dengan amalan baik tadbir urus korporat dan tanggungjawab Lembaga Pengarah dalam menjaga kepentingan syarikat. Semakan JAN terhadap proses perolehan ekuiti PSOSL mendapati beberapa kelemahan seperti berikut:
a.   Tiada due diligence dilaksanakan untuk mengenal pasti liabiliti syarikat, keupayaan syarikat untuk menjana dana dan prestasi kewangan syarikat yang lepas serta maklumat lain yang diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat dalam pelaburan ekuiti sesuatu syarikat.
b.   Tiada dokumen dikemukakan untuk mengesahkan sebarang due diligence dan penilaian pernah dilakukan dan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah untuk dikaji dan dibincang.
c.   Penilaian PSOSL yang bersamaan dengan nilai Nota Murabahah pada tarikh penebusan adalah sesuatu yang luar biasa.
d.   Berdasarkan General Registry Cayman Islands, PSOSL ditubuhkan di Cayman Islands pada 11 Disember 200. Ini menunjukkan syarikat hanya beroperasi kurang daripada 3 tahun dan  tiada rekod kewangan untuk dinilai prestasinya sebelum 1MDB membuat keputusan melabur dalam syarikat ini.
e.   Pada 2 Mac 2012, Encik Shahrol Azral mencadangkan perbincangan terperinci berkenaan PSOSL dibentang dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB akan datang menunjukkan tidak ada laporan dikemukakan oleh mana-mana perunding yang dilantik.
f.        Pada Mesyuarat Lembaga Pengarah bertarikh 18 Jun 2012, Ketua Pegawai Eksekutif sekali lagi memaklumkan berkenaan terma dan syarat cadangan yang akan dibentangkan kemudian. Bagaimanapun, penamatan Nota Murabahah telah dilakukan dengan membeli 49% pegangan ekuiti dalam PSOSL pada 1 Jun 2012.
g.   Kelulusan pemegang saham pada 20 Jun 2012 didapati adalah sama dengan tarikh laporan penilaian perunding. Oleh itu tidak dapat disahkan sama ada laporan perunding telah dibentangkan untuk pertimbangan pemegang saham.
h.   Bagaimanapun, terdapat lima dokumen yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pada 1 Jun 2012. Ini menunjukkan bahawa keputusan untuk melupuskan Nota Murabahah dan memperoleh 49% pegangan ekuiti dalam PSOSL telahpun dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Lembaga Pengarah 1MDB hanya dimaklumkan berkenaan perkara ini pada 20 Jun 2012.
i.        Dua resolusi Lembaga Pengarah 1MDB masing-masing bertarikh 20 Jun 2012 meluluskan untuk menebus Nota Murabahah dan memperoleh 49% pegangan ekuiti dalam PSOSL manakala penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012 menyatakan Nota Murabahah ditebus melalui asset swap arrangement melalui pegangan ekuiti dalam PSOSL pada 1 Jun 2012. Ini menunjukkan Resolusi Lembaga Pengarah 1MDB diluluskan pada tarikh terkemudian dan urus niaga pelupusan dan perolehan tersebut dilaksanakan oleh pengurusan 1MDB sebelum mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Tindakan tersebut membelakangkan peranan Lembaga Pengarah.
j.        Penukaran Nota Murabahah kepada pegangan ekuiti PSOSL adalah pada 1 Jun 2012, manakala keuntungan Nota Murabahah hanya diambil kira sehingga 31 Mac 2012. Ini menunjukkan Nota Murabahah masih belum ditebus dan di bawah pegangan PetroSaudi Holdings Ltd. (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB PetroSaudi Ltd.) tanpa dibayar pulangan bagi dua bulan. Tetuan Deloitte yang mengaudit penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2013 tidak menyatakan perkara ini dalam laporannya.
k.   Nota Murabahah telah dinilai pada 31 Mac 2012 manakala pegangan ekuiti dalam PSOSL dinilai pada 1 Jun 2012. Nota Murabahah sepatutnya dinilai pada tarikh pertukaran pelaburan sebenarnya dilaksanakan, iaitu pada 1 Jun 2012.
l.        Keuntungan Nota Murabahah berjumlah RM589.54 juta tidak diterima dalam bentuk tunai sebaliknya dipermodalkan sebelum pertukaran kepada pegangan ekuiti dalam PSOSL. Namun, tidak ada dokumen bagi menyokong nilai yang dipersetujui dan kaedah pengiraan penilaian.
m. Keputusan perolehan pegangan ekuiti dalam PSOSL dibuat melalui resolusi Lembaga Pengarah 1MDB, kelulusan Pemegang Saham Utama dan Menteri Kewangan Diperbadankan melalui resolusi bertulis masing-masing bertarikh 20 Jun 20012. Dokumen Registrar of Members menunjukkan pindahan pegangan ekuiti daripada PetroSaudi Holdings BVI kepada 1MDB-IHL bertarikh 4 September 2012. Bagaimanapun, tarikh pindahan tersebut didapati lapan hari lebih awal daripada tarikh pelupusan PSOSL pada 12 September 2012 seperti catatan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.
n.   Sebahagian daripada pertukaran tersebut, 1MDB-IHL juga memeterai call and put option dengan PetroSaudi International Ltd. bagi mengambil alih baki 51% pegangan ekuiti dalam PSOSL pada harga opsyen USD10. Opsyen ini boleh ditunaikan pada bila-bila masa sehingga tarikh matang opsyen tersebut pada 31 Disember 2015. Jumlah saham berbayar PSOSL adalah sebanyak 100 unit dengan nilai nominal USD1 seunit. Bayaram sejumlah USD2.22 bilion untuk 49% unit saham menunjukkan seolah-olah intrinsic value saham PSOSL bernilai USD45.35 juta seunit. Ini menimbulkan persoalan mengapa 1MDB tidak memperoleh 100% pegangan ekuiti dengan bayaran tambahan hanya USD10, berbanding memperoleh 49% pegangan ekuiti pada harga USD2.22 bilion.

7. PELUPUSAN PSOSL DAN PEROLEHAN PELABURAN PORTFOLIO DALAM SEGREGATED PORTFOLIO COMPANY (SPC)

7.1.  Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 8 Februari 2012 mengadakan perbincangan awal berkaitan perolehan PSOSL. Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memaklumkan PSOSL beroperasi di perairan Venezuela dan negara itu telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat. 1MDB perlu mengelakkan penglibatan dalam sebarang kontrak perniagaan dengan syarikat di Venezuela bagi menghindari persepsi negatif Amerika Syarikat. Walaupun perkara ini adalah serius, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB tetap meneruskan pelaburan ekuiti dalam PSOSL.
7.2.  Bagaimanapun, selepas 45 hari 1MDB menukar Nota Murabahah kepada pelaburan ekuiti dalam PSOSL, semasa mesyuarat bertarikh 16 Julai 2012, Datuk Shahrol Azral telah menyarankan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk melupuskan pegangan ekuiti dalam PSOSL yang beroperasi di Venezuela. Ini kerana PSOSL mempunyai kontrak penggerudian di negara tersebut yang sedang menghadapi sekatan daripada Amerika Syarikat. Ini menunjukkan keputusan sebelum ini untuk menukar Nota Murabahah kepada pegangan ekuiti dalam PSOSL adalah tidak berhemat (prudent). Pada mesyuarat yang sama, Datuk Shahrol Azral juga mencadangkan untuk melabur hasil perolehan daripada pelupusan PSOSL dengan pengurus dana.
7.3.  Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertarikh 2 Ogos 2012 meluluskan pelupusan keseluruhan pegangan ekuiti dalam 1MDB-HL yang memegang 49% ekuiti dalam PSOSL. Dalam resolusi yang sama, 100% pegangan ekuiti 1MDB-IHL diluluskan untuk dilupuskan kepada Bridge Partners International Investment Ltd. (Bridge Partners) dengan harga pertimbangan tidak kurang daripada USD2.22 bilion. Hasil pelupusan tersebut akan dilaburkan semula dalam beberapa dana yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana berlesen yang akan diputuskan atas pertimbangan Ketua Pegawai Eksekutif. Keputusan penting ini hanya dibuat melalui resolusi Lembaga Pengarah dan diluluskan oleh pemegang saham 1MDB.
7.4.  Pada 12 September 2012, sale and purchase agreement untuk melupuskan keseluruhan ekuiti dalam 1MDB-IHL dimeterai antara 1MDB dan Bridge Partners. Sebagai balasan, Bridge Partners mengeluarkan enam nota janji (promissory notes) tanpa faedah bernilai USD2.318 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh satu bulan. 1MDB merekodkan keuntungan tidak nyata berjumlah RM316.22 juta (USD95.37 juta) atas pelupusan ekuiti ini dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2013.
7.5.  Pada 12 September 2012 juga, 1MDB melalui subsidiari milik penuhnya, Brazen Sky Ltd. telah memeterai Investment Management Agreement dengan Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global SPC) dan Bridge Partners Investments Management (Cayman) Ltd. untuk melaburkan USD2.318 bilion. Pelaburan ini dibiayai melalui nota janji (promissory notes) sebagai ganti terimaan tunai dan dilabur dalam pelbagai pelaburan portfolio dalam Segregated Portfolio Company (SPC) yang berdaftar di Cayman Islands. Kesanggupan Bridge Global SPC menerima promissory notes untuk membuat pelaburan berbanding tunai, adalah suatu keputusan yang luar dari kebiasaan.
7.6.  Semakan terhadap kertas kerja Tetuan Deloitte mendapati cadangan pelaburan melalui Bridge Global SPC ini diterima daripada Bank BSI (Singapura) yang merupakan custodian bank bagi Brazen Sky Ltd. Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB (mantan dan semasa) semasa temu bual dengan JAN juga mengakui bahawa cadangan pelaburan tersebut diterima daripada Bank BSI. Bridge Global SPC didaftarkan di Cayman Islands pada 8 Ogos 2012, iaitu sebulan sebelum 1MDB melabur dalam SPC melalui subsidiarinya, Brazen Sky Ltd. Ini menunjukkan 1MDB mengambil risiko yang tinggi dengan menggunakan syarikat yang baru sebulan ditubuh dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana SPC berjumlah USD2.318 bilion.
7.7.  Berdasarkan maklumat daripada Monetary Authority of Cayman Islands dan semakan terhadap kertas kerja Tetuan Deloitte mendapati Bridge Global SPC hanya memperoleh lesen bagi urus niaga mutual funds pada 15 November 2013. Perkara ini menunjukkan sebelum tarikh tersebut, 1MDB melantik pengurus dana yang tidak berlesen. Tindakan ini merupakan tindakan yang tidak berhemat dan mendedahkan 1MDB pada risiko yang tidak berpatutan.
7.8.  Semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 4 Disember 2012, Tetuan KPMG ada membangkitkan isu mengenai ketiadaan bukti yang cukup untuk menunjukkan penjualan 49% ekuiti di dalam PSOSL adalah jualan sebenar kerana ekuiti tersebut dijual kepada Bridge Partners International Investment Ltd., dan hasil penjualan tersebut dilaburkan semula di dalam Bridge Global Absolute Returns. Berdasarkan nama syarikat yang hampir sama, kedua-dua entiti tersebut kelihatan saling berkaitan. Bagaimanapun, pihak pengurusan 1MDB berpendapat tindakan melabur dalam hedge funds dengan segera adalah satu langkah yang berhemat sebelum memutuskan bentuk pelaburan jangka panjang yang lain yang lebih sesuai dengan mengambil kira jumlah terlibat yang besar. Analisis JAN terhadap kronologi peristiwa selanjutnya mendapati kenyataan tersebut tidak benar kerana pelaburan dalam hedge funds ini didapati amat sukar dicairkan, ditebus semula, atau dibawa balik ke Malaysia semula bagi membiayai pelaburan-pelaburan 1MDB seterusnya dalam sektor hartanah dan tenaga.
7.9.  Semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 4 Disember 2012, pihak pengurusan menyatakan Bridge Global SPC dalam proses penyenaraian hedge funds dalam Bloomberg. Pada 9 Disember 2013, Encik Hazem mengesahkan enam portfolio pelaburan oleh Brazen Sky Ltd. telah tersenarai di Bloomberg. Mengikut kertas kerja Tetuan Deloitte, pengurus dana telah mengesahkan enam portfolio pelaburan tersebut telah disenaraikan di Bloomberg. Bagaimanapun, pihak JAN tidak dapat mengesahkan sama ada enam portfolio tersebut telah disenaraikan di Bloomberg pada tahun 2013. Semakan JAN di laman web Bloomberg pada 15 Jun 2015 dan 6 Disember 2015 menunjukkan dana portfolio pelaburan tersebut masih berstatus Pending Listing. Ini menunjukkan terdapat perbezaan antara maklumat yang disalurkan kepada Lembaga Pengarah dengan maklumat di laman web Bloomberg terkini.

8. PENEBUSAN PELABURAN PORTFOLIO DALAM SEGREGATED PORTFOLIO COMPANY (SPC)

8.1. Pelaburan dalam SPC dibuat melalui Investment Management Agreement yang ditandatangani pada 12 September 2012. Bagi tempoh bulan September 2012 hingga September 2013, pelaburan RM6.80 bilion (USD2.318 bilion) ini mendapat pulangan berjumlah RM662 juta, iaitu dividen berjumlah RM445.93 juta dan agihan modal (capital distribution) berjumlah RM216.07 juta seperti dinyatakan dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2014.
8.2. Sebagai tindak balas terhadap kritikan yang dibangkitkan di Parlimen dan pihak media berhubung pelaburan portfolio dalam SPC yang diuruskan oleh pengurus dana di Cayman Islands, Lembaga Pengarah 1MDB pada 20 Mei 2013 bersetuju supaya pelaburan tersebut ditebus secara berperingkat bagi meningkatkan persepsi awam terhadap kredibiliti pelaburan 1MDB. Sehubungan itu, Lembaga Pengarah 1MDB telah mengeluarkan sembilan arahan antara bulan Mei 2013 hingga Ogos 2014 kepada pihak pengurusan untuk menyediakan pelan, jadual dan penebusan dana portfolio SPC sama ada secara berperingkat atau keseluruhan seperti jadual berikut:

JADUAL 2.3

ARAHAN LEMBAGA PENGARAH BERHUBUNG PENEBUSAN PELABURAN SPC

BILANGAN MESYUARAT LEMBAGA PENGARAHTARIKH MESYUAARAT LEMBAGA PENGARAHARAHAN LEMBAGA PENGARAH
3/201320.05.2013Menyediakan pelan dan jadual penebusan secara berperingkat.
5/201319.08.2013Menyediakan pelan dan jadual penebusan secara berperingkat.
6/201311.11.2013Mencairkan pelaburan secara ansuran dan membawa balik dana ke Malaysia.
1/201427.01.2014Masa yang sesuai untuk menebus pelaburan memandangkan nilai matawang USD yang tinggi.
Khas27.02.2014Pihak pengurusan mengambil tindakan serta-merta untuk menebus dan membawa balik dana ke Malaysia.
3/201422.04.2014Dana ditebus secepat mungkin walaupun tidak timbul keperluan kewangan pada masa terdekat. Ia boleh dilabur dengan institusi tempatan.
4/201410.06.2014Penebusan sekurang-kurangnya 1/3 pelaburan portfolio pada 30 September 2014 dan keseluruhan pelaburan pada 31 Mac 20015.
5/201421.07.2014Menebus 1/3 pelaburan portfolio pada 30 September 2014 dan keseluruhan pelaburan pada 31 Mac 2015. Pengurusan diarahkan menebus pelaburan pada tarikh-tarikh tersebut.
6/201418.08.2014Menebus keseluruhan pelaburan sebelum atau pada 31 Disember 2014.
Sumber: Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB
8.3.     Bagaimanapun, tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan 1MDB walaupun terdapat klausa khusus dalam Subscription Agreement yang membenarkan pelanggan mencairkan dana pada bila-bila masa dengan memberi 30 hari notis. Kesediaan pengurus dana untuk mencairkan dana portfolio dalam tempoh satu bulan juga disahkan oleh Encik Hazem (Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu) semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 10 Jun 2014.
8.4.     Susulan daripada arahan berulang kali daripada Lembaga Pengarah 1MDB, akhirnya sebahagian dana portfolio SPC berjumlah USD870 juta telah ditebus pada pertengahan bulan Oktober 2014 manakala sejumlah USD300 juta akan ditebus selang beberapa hari kemudian. Perkara ini telah dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB pada 20 Oktober 2014.
8.5.     Pada 4 November 2014, Encik Hazem memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat bahawa sejumlah USD1.20 bilion dana portfolio SPC telah ditebus. Ia telah digunakan untuk membayar faedah hutang dan penamatan opsyen Aabar Investments PJS untuk memperoleh 49% ekuiti dalam Powertek Investment Holdings Sdn. Bhd. dan 1MDB Energy (Langat) Sdn. Bhd. Dalam mesyuarat yang sama, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MD telah memaklumkan kepada Tetuan Deloitte (yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut) bahawa baki pelaburan portfolio SPC akan ditebus sebelum akhir bulan November 2014 dan memberi jaminan akan memantau penebusan tersebut.
8.6.     Semasa mesyuarat pada 20 Disember 2014, Encik Azmi (Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa jumlah terkini dana portfolio SPC yang telah ditebus adalah berjumlah USD1.392 bilion dan baki sejumlah USD939.87 juta akan ditebus pada akhir bulan Disember 2014. Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai keseluruhan dana portfolio SPC yang telah dicagarkan kepada Deutsche Bank sebagai jaminan terhadap pinjaman berjumlah USD975 juta. Lembaga Pengarah 1MDB berpendapat adalah tidak adil untuk mencagarkan keseluruhan dana portfolio SPC berjumlah USD2.318 bilion kepada Deutsche Bank apabila pinjaman hanya berjumlah USD975 juta. Tan Sri Lodin (Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB) membangkitkan bahawa pihak pengurusan 1MDB tidak pernah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB berhubung cagaran tersebut sedangkan beliau dan Tan Sri Ismee telah memberi jaminan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia bahawa hasil daripada penebusan pelaburan portfolio SPC akan dibawa balik ke Malaysia.
8.7.     Maklumat tersebut didapati tidak bertepatan dengan kenyataan oleh Encik Arul Kanda (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB mulai 1 Januari 2015) semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 1 Disember 2015, di mana beliau memaklumkan sejumlah USD1.22 bilion pelaburan pelaburan portfolio SPC tidak dicagarkan kerana ianya telah ditebus. Hanya baki pelaburan portfolio SPC berjumlah USD1.11 bilion bersama dividen berjumlah USD120 juta telah dicagarkan kepada Deutsche Bank bagi menjamin pinjaman USD975 juta tersebut. Bagaimanapun, semakan JAN mendapati kenyataan tersebut adalah tidak tepat kerana antara 14 hingga 24 November 2014, penebusan tambahan berjumlah USD173.50 juta telah dibuat menjadikan keseluruhan penebusan pelaburan portfolio SPC berjumlah US1.392 bilion. Kesemua hasil penebusan pelaburan tersebut telah dipindahkan ke dalam akaun 1MDB GIL dan hanya baki berjumlah USD939.87 juta yang belum ditebus yang boleh dianggap sebagai cagaran terhadap pinjaman daripada Deutsche Bank.
8.8.     Semakan JAN selanjutnya terhadap Facility Agreement mendapati syarat pinjaman tersebut tidak mengandungi klausa yang dapat menyokong kenyataan Encik Azmi pada 20 Disember 2014 ataupun kenyataan Encik Arul Kanda pada 1 Disember 2015. Beberapa syarat yang dikenakan terhadap pinjaman tersebut adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 2.4

SYARAT PINJAMAN USD975 JUTA DEUTSCHE BANK AG, SINGAPURA BERHUBUNG CAGARAN DANA PORTFOLIO SPC

KLAUSASYARAT
20.2(b)Brazen Sky shall ensure that the Brazen Sky Net Worth will not at any time be less than USD1,500,000,000.
22.2(b)With effect from the date which is six months from the utilization date, the borrower and Brazen Sky shall ensure that, at all times thereafter, the amount standing to the credit of Brazen Sky Account is at least equal to the Brazen Sky Required Balance.Note:
Brazen Sky Account- Bank account in Hong Kong.
Brazen Sky Required Balance – a cash amount of US600 million up to maximum of USD1,170 million; USD500 million plus aggregate of each Accordion Increase Amount x 1.2.
Sumber: Facility Agreement USD975 juta
8.9.     Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat pada 20 Disember 2014 juga dimaklumkan bahawa Deutsche Bank AG, Singapura telah memberi persetujuan membenarkan sejumlah USD993 juta digunakan untuk bayaran penamatan opsyen Aabar daripada hasil penebusan dana SPC berjumlah USD1.392 billion. Manakala baki berjumlah USD399 juta telah digunakan untuk membayar faedah pinjaman Nota USD.
8.10.  Bagaimanapun, butiran secara terperinci mengenai bayaran sejumlah USD993 juta kepada Aabar untuk penamatan opsyen serta bayaran faedah pinjaman Nota USD berjumlah USD399 juta tidak dapat disahkan oleh JAN. Lembaga Pengarah 1MDB juga pernah memohon butiran lengkap mengenai bayaran tersebut pada 20 Disember 2014 tetapi semakan JAN mendapati ia tidak dibentangkan semula dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB yang seterusnya. Semasa mesyuarat pada 23 Februari 2015, Lembaga Pengarah 1MDB membangkitkan persoalan berkaitan bayaran penamatan opsyen Aabar yang hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB selepas bayaran dibuat. Ini menunjukkan bayaran penamatan opsyen Aabar telah dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.
8.11.  Semasa perjumpaan antara pengurusan 1MDB dan JAN pada 9 September 2015, 1MDB memaklumkan bahawa physical payment kepada Aabar telah dibuat melalui akaun bank syarikat subsidiari 1MDB, iaitu Brazen Sky Limited (Brazen Sky) di BSI Bank bagi pihakterminating company kerana 1MDB tidak mempunyai akaun bank di luar negara. Bagaimanapun, semakan JAN mendapati hasil penebusan portfolio SPC berjumlah USD1.392 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank Brazen Sky antara 11 September 2014 hingga 24 November 2014 telah dipindahkan kepada 1MDB Global Investments Limited (1MDB GIL) antara 12 September 2014 hingga 8 Disember 2014 berjumlah USD1.417 bilion. Analisis terhadap transaksi bank Brazen Sky bagi tempoh bulan September hingga Disember 2014 mendapati tiada bayaran penamatan opsyen Aabar dibuat melalui akaun Brazen Sky. Butiran transaksi akaun bank Brazen Sky adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 2.5

TRANSAKSI BANK BRAZEN LIMITED BAGI TEMPOH BULAN SEPTEMBER HINGGA DISEMBER 2014

TARIKHTRANSAKSIMASUK (USD)KELUAR (USD)
11.09.2014Portfolio C2111,000,000.02
12.09.20141MDB GIL94,420,000.00
07.10.2014Portfolio C2146,518,719.52
Portfolio C1228,481,280.48
1MDB GIL375,000,000.00
14.10.2014Portfolio B1280,045,600.00
Portfolio C1109,954,400.00
1MDB GIL340,000,000.00
23.10.2014Portfolio A227,099,840.00
Portfolio B1198,247,200.00
Portfolio B230,152,960.00
1MDB GIL255,500,000.00
30.10.2014Portfolio A193,292,800.00
31.10.2014Dividen131,707,200.00*
04.11.20141MDB GIL222,000,000.00
14.11.2014Portfolio A2125,000,000.00
1MDB GIL125,000,000.00
24.11.2014Portfolio A248,500,000.00
26.11.20141MDB43,168,213.17*
08.12.20141MDB GIL5,500,000.00
JUMLAH1,392,292,800.021,417,420,000
Sumber: Penyata Bank Brazen Sky Limited Yang Diperoleh Daripada Pihak Berkuasa Asing Nota(*) : Tidak Diambil Kira Dalam Pengiraan Jumlah Transaksi Keluar Masuk
8.12.  Pemindahan wang hasil penebusan portfolio SPC daripada Bazen Sky kepada 1MDB GIL didapati tidak mematuhi arahan Lembaga Pengarah 1MDB yang meminta hasil penebusan portfolio SPC dibawa balik ke Malaysia. Pemindahan wang tersebut juga tidak dibentang untuk kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB. Tindakan pihak pengurusan memindahkan wang kepada 1MDB GIL tidak dapat dipastikan justifikasinya kerana 1MDB GIL mempunyai aset pelaburannya tersendiri dengan pengurus dana berjumlah USD1.56 bilion pada 31 Mac 2014. 1MDB GIL juga telah memperoleh pinjaman Nota USD berjumlah USD3 bilion. Pihak JAN tidak dapat mengesahkan cara bayaran seterusnya dibuat oleh 1MDB GIL atau penggunaan hasil penebusan dana tersebut kerana dokumen penting seperti penyata bank dan baucar bayaran yang berkenaan tidak diserahkan oleh 1MDB untuk semakan JAN walaupun telah diminta sebanyak lima kali sejak bulan Mei hingga Oktober 2015. Menurut 1MDB, dokumen tersebut telah dirampas oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 8 Julai 2015. Dokumen seperti penyata bank sepatutnya boleh diminta daripada bank oleh pelanggan pada bila-bila masa.
8.13.  Selepas penebusan portfolio SPC berjumlah USD1.392 bilion, Lembaga Pengarah 1MDB pada 13 November 2014 menggesa penebusan baki portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta dibuat sebelum akhir bulan November 2014. Arahan supaya penebusan disegerakan dibuat sekali lagi pada 25 November 2014.
8.14.  Pada 12 Januari 2015, Lembaga Pengarah 1MDB telah menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan 1MDB yang sebelum ini telah memberi gambaran bahawa hasil penebusan SPC akan dibawa pulang tetapi sehingga tarikh mesyuarat tersebut, perkara ini tidak berlaku. Keadaan bertambah rumit kerana 1MDB sedang menghadapi masalah aliran tunai yang serius untuk membayar balik pinjaman Maybank berjumlah RM2 bilion dan obligasi membiayai ekuiti dalam Projek 3B pada masa itu.
8.15.  Dalam mesyuarat yang sama, Encik Arul Kanda memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa baki pelaburan portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta telah ditebus dan dipegang dalam bentuk tunai sejak 31 Disember 2014. Ini adalah selaras dengan kenyataan Encik Azmi semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 20 Disember 2014 bahawa baki pelaburan portfolio SPC akan ditebus pada akhir bulan Disember 2014.
8.16.  Bagaimanapun, semakan JAN mendapati beberapa kenyataan yang menimbulkan kemusykilan sama ada penebusan baki pelaburan portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta adalah dalam bentuk tunai atau unit. Analisis terhadap kronologi kenyataan yang dibuat antara 12 Januari 2015 hingga 3 Mac 2015 menunjukkan penebusan baki portfolio SPC dalam bentuk tunai berjumlah USD939.87 juta telah berlaku. Bagaimanapun, semakan JAN mendapati tidak wujud baki tunai sejumlah USD939.87 juta dalam akaun bank Brazen Sky sepanjang tempoh tersebut. Kronologi kenyataan berhubung penebusan baki pelaburan portfolio SPC adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 2.6

KRONOLOGI KENYATAAN BERHUBUNG PENEBUSAN BAKI PELABURAN PORTFOLIO SPC BERJUMLAH USD939.87 JUTA

TARIKHKENYATAANSUMBER RUJUKAN
12.01.2015Mr. Arul updated the Board that the balance of USD939,874,085 had been redeemed and had been held as cash since 31st December 2014.Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB
07.02.2015Mr. Arul: “The cash is in our accounts and in US dollars. I can assure you (about that) ………. I have seen the statements.”The Business Times, Singapore bertarikh 7 Februari 2015
23.02.2015Mr. Arul informed the Board that, per the terms of the Deutsche Bank loan taken out I September 2014, there is a need for the USD975 million loan to be cash collateralised at USD1.20 for every USD1.00 of the loan, by 2nd March 2015. He therefore recommended, and that Board agreed, that the loan be repaid from the remaining USD939 million cash proceeds from the redemption of the investment portfolios held by Brazen Sky Limited, and the balance from the proposed Government of Malaysia loan.Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil. 1/2015
03.02.2015Mr. Arul updated the Board that further to the Board decision on 23 February 2015, he had instructed the CFO to utilize the proceeds of Brazen Sky Limited redemption to repay in full the US975 million Deutsche Bank loan on 2 March 2015. However, the CFO informed him today that BSI apparently declined to apply the proceeds in that manner until they received a suitably worded indemnity from Deutsche Bank to release BSI from any liability in relation to application of the funds in that manner.Mesyuarat Khas Lembaga 1MDB
Sumber: Minit Lembaga Pengarah 1MB Dan Keratan Akhbar
8.17.  Kenyataan oleh Encik Arul Kanda semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 3 Mac 2015 menimbulkan persoalan mengapa sebelum ini BSI tiada halangan terhadap pemindahan wang hasil penebusan pelaburan portfolio SPC berjumlah USD1.417 bilion pada 12 September 2014 hingga 8 Disember 2014. Ini seolah-olah menunjukkan pihak pengurusan 1MDB tidak memberikan maklumat yang tepat dan lengkap berhubung pelaburan SPC kepada Encik Arul Kanda. Beliau juga sering mengaitkan maklumat yang diterangkan dalam beberapa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB adalah berdasarkan maklumat yag diberikan oleh Encik Azmi (Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) dan Encik Terence (Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB). Semasa mesyuarat PAC pada 1 Disember 2015, Encik Arul Kanda juga memaklumkan pengetahuannya mengenai penebusan pelaburan portfolio SPC difahami secara berperingkat. Encik Azmi dan Encik Terence sebagai Lembaga Pengarah Brazen Sky sepatutnya memaklumkan maklumat yang terperinci berhubung pelaburan portfolio SPC kepada Encik Arul Kanda.
8.18.  Semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 24 Mac 2015, Encik Arul Kanda menerangkan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Encik Ami, Aabar bersetuju membeli baki pelaburan portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta daripada Brazen Sky dengan nilai yang sama. Semakan JAN selanjutnya mendapati persetujuan yang dimaksudkan adalah Asset Sale Agreement yang ditandatangani pada 2 Januari 2015 antara Brazen Sky dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Ltd.). Perjanjian tersebut dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB untuk mendapatkan kepastian hasil penebusan baki pelaburan portfolio SPC boleh diterima sebelum 31 Mac 2015 sebagaimana dikehendaki oleh Lembaga Pengarah 1MDB. Penebusan dibuat melalui kaedah perjanjian ini kerana Brazen Sky berpendapat pengurus dana SPC tidak dapat menebus dana SPC mengikut proses penebusan yang biasa kerana sentiment pasaran yang lemah pada ketika itu. Bagaimanapun, didapati perjanjian tersebut dimeterai tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB.
8.19.  Semakan JAN juga mendapati penjualan baki pelaburan portfolio SPC kepada Aabar Ltd. bercanggah dengan klausa 21.4(a) dalam Facility Agreement USD975.0 juta oleh Deutsche Bank iaitu, “No obligor shall enter into single transaction or a series of transactions to sell, lease, transfer or otherwise dispose of any asset.” Ini menunjukkan pihak pengurusan telah bertindak di luar arahan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengkehendaki penebusan baki pelaburan portfolio SPC dibuat sebelum akhir Disember 2014 dan hasilnya dibawa balik ke Malaysia. Justifikasi pihak pengurusan 1MDB tidak melaksanakan arahan Lembaga Pengarah 1MDB untuk menebus keseluruhan pelaburan portfolio SPC khususnya pada bulan Januari 2014 boleh dipertikaikan kerana nilai matawang USD pada ketika itu adalah tinggi. Pihak pengurusan 1MDB juga sepatutnya tidak perlu khuatir sekiranya berlaku kerugian semasa penebusan kerana pelaburan portfolio SPC dijamin oleh Aabar Investments PJS atas nilai prinsipalnya.
8.20.  Encik Arul Kanda juga memaklumkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 24 Mac 2015 bahawa Encik Azmi telah menerangkan penebusan penuh pelaburan portfolio SPC telah berlaku pada awal bulan Januari 2015. Bagaimanapun, sejumlah USD939.87 juta yang sepatutnya diterima daripada Aabar masih kekal dalam struktur dana portfolio SPC. Oleh kerana pengurusan 1MDB mengambil kira kedudukan kredit Aabar dan hubungan baik Aabar dengan 1MDB, persetujuan Aabar untuk mengambil alih pelaburan portfolio SPC dianggap seolah-olah transaksi tunai (as good as cash). Bagaimanapun, tanpa bayaran tunai tersebut, 1MDB tidak dapat melunaskan pinjaman Deutsche Bank berjumlah USD975 juta ataupun menyediakan cagaran tunai berjumlah USD1.17 bilion bagi pinjaman tersebut.
8.21.  Seterusnya, Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertarikh 25 Mac 2015 bersetuju dengan cadangan yang disediakan oleh Encik Azmi dan Encik Terence supaya Brazen Sky menamatkan Asset Sale Agreement yang ditandatangani dengan Aabar Ltd. pada 2 Januari 2015 dan digantikan dengan Share Sale Agreement. Mengikut cadangan tersebut, keseluruhan ekuiti Brazen Sky akan dijual kepada Aabar Ltd. dengan harga pertimbangan berjumlah USD1.20 bilion dan bayaran pertama berjumlah USD300 juta perlu dibuat sebelum 30 April 2015. Tujuan penjualan ekuiti Brazen Sky adalah untuk memenuhi syarat pinjaman Deutsche Bank mengenai cagaran tunai berjumlah USD1.17 bilion yang perlu disediakan oleh Brazen Sky bagi pihak peminjam, iaitu 1MDB Energy Holdings Ltd. Kelulusan pemegang saham juga diperoleh melalui resolusi bertarikh 25 Mac 2015. Bagaimanapun, dokumen tersebut tidak dikemukakan kepada JAN kerana pengurusan 1MDB memaklumkan urusan ini tidak dimaktamadkan. Semua keterangan yang dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB pada 24 Mac 20015, iaitu bermula denganAsset Sale Agreement dan cadangan Share Sale Agreement memberi gambaran maklumat berubah-ubah mengikut situasi di mana baki pelaburan portfolio SPC yang pada awalnya dikatakan telah ditebus secara tunai, tetapi kini dilaporkan masih dipegang sebagai unit pula. 
8.22.  Namum demikian, komitmen Aabar Ltd. untuk menepati janjinya boleh dipersoalkan kerana Encik Azmi memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat pada 23 April 2015 bahawa baki sejumlah USD939.87 juta yang sepatutnya diterima daripada Aabar Ltd. masih kekal dalam struktur pelaburan portfolio SPC kerana Aabar Ltd. belum mengesahkan bila pembayaran tersebut boleh dibuat. Manakala Encik Arul Kanda pula memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat pada 11 Mei 2015, bayaran bagi pengambilalihan Brazen Sky oleh Aabar Ltd. masih belum diterima.
8.23.  Bagaimanapun, pada 25 Mei 2015, Lembaga Pengarah 1MDB dimaklumkan bahawa rundingan dengan Aabar sedang berlangsung untuk IPIC/Aabar mengambil alih sebahagian aset Kumpulan 1MDB bersama obligasi dua Nota USD berjumlah USD3.50 bilion. Lembaga Pengarah 1MDB turut dimaklumkan bahawa perjanjian dan bayaran pendahuluan berjumlah USD1 bilion akan dimuktamadkan pada penghujung bulan Mei 2015. Ini merupakan kali ketiga penebusan baki pelaburan portfolio SPC dan rundingan yang melibatkan Aabar/ Aabar Ltd. bertukar bentuk.
8.24.  Pada 28 Mei 2015, Lembaga Pengarah 1MDB meluluskan resolusi untuk mengadakanTerm Sheet For Settlement Agreements (Binding Term Sheet) antara Kumpulan 1MDB, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), International Petroleum Investment Company(IPIC) dan Aabar Investments PJS Groups (Aabar). Binding Term Sheet tersebut telah ditandatangani antara keempat-empat pihak berkenaan juga pada 28 Mei 2015. Antara terma penting dalam Binding Term Sheet tersebut adalah IPIC akan membayar 1MDB sejumlah USD1 bilion sebelum atau pada 4 Jun 2015 dan mengambil alih obligasi bayaran faedah dan prinsipal bagi dua Nota USD yang masing-masing berjumlah USD1.75 bilion. Mengikut penerangan Encik Arul Kanda kepada Lembaga Pengarah 1MDB dalam mesyuarat pada 14 Jun 2015, Binding Term Sheet tersebut tidak menyatakan secara terperinci berhubung aset yang akan ditukar milik dengan IPIC/Aabar kerana masih dalam peringkat rundingan. Antara aset yang dikenal pasti untuk dipindah milik berjumah USD4.892 bilion terdiri daripada deposit berjumlah USD1.40 bilion bagi jaminan IPIC terhadap Nota USD, dana pelaburan 1MDB GIL berjumlah USD1.56 bilion, pelaburan portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta dan bayaran penamatan opsyen Aabar berjumlah USD993 juta. Bagaimanapun, tiga perkara penting telah ditetapkan pada tarikh-tarikh berikut:
a. Perjanjian yang definitve akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2015;
b. Memindah milik aset dengan nilai sekurang-kurangnya USD1 bilion kepada IPIC/Aabar selewat-lewatnya pada 31 Disember 2015; dan
c. Memindah milik baki aset yang telah dikenal pasti selewat-lewatnya pada 30 Jun 2016.
8.25.  Pada 5 Jun 2015, 1MDB telah menerima pendahuluan USD1 bilion daripada IPIC di bawah persetujuan Binding Term Sheet ini melalui akaun subsidiarinya, iaitu Brazen Sky. Berdasarkan resolusi pemegang saham 1MDB bertarikh 28 Mei 2015 dan resolusi Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 2 Jun 2015, pendahuluan IPIC/Aabar berjumlah USD1 bilion telah diluluskan untuk membayar yuran tertangguk akaun Brazen Sky di BSI Bank, USD50 juta kepada Yurus Private Equity I dan bakinya untuk pinjaman Deutsche Bank berjumlah USD975 juta.
8.26.  Isu berhubung penebusan pelaburan portfolio SPC bagi tempoh tahun 2013 hingga 2015 adalah seperti berikut:
a. Pembayaran untuk penamatan opsyen Aabar tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan terlebih dahulu.
b. Hasil penebusan portfolio SPC berjumlah USD1.392 bilion tidak dibawa balik ke Malaysia walaupun diarahkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB.
c. Hasil penebusan portfolio SPC sejumlah USD1.417 bilion telah dipindahkan kepada 1MDB GIL tetapi dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa telah dibayar untuk penamatan opsyen Aabar berjumlah USD993 juta.
d. Kesukaran mendapat dokumen penting seperti penyata bank Brazen Sky dan 1MDB GIL menyebabkan JAN tidak dapat mengesahkan mengenai pemindahan wang, bayaran penamatan opsyen Aabar dan bayaran faedah pinjaman.
e. Asset Sale Agreement yang ditandatangani pada 2 Januari 2015 antara Brazen Sky dan Aabar Ltd. bagi penjualan baki pelaburan portfolio SPC berjumlah USD939.87 juta kepada Aabar Ltd. tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB.
f. Nilai penebusan pertama (USD1.392 bilion) dan baki yang akan diambil alih (USD939.87 juta) keseluruhannya berjumlah USD2.33 bilion adalah hampir bersamaan dengan nilai awal pelaburan berjumlah USD2.318 bilion pada 12 September 2012. Ini juga menunjukkan pelaburan portfolio SPC tidak memberi keuntungan yang ketara berbanding pelaburan awal (principal).
g. Perubahan penyata bahawa baki pelaburan portfolio SPC telah ditebus dan disimpan secara tunai pada 31 Disember 2014, yang kemudiannya dinyatakan telah diambil alih oleh Aabar Ltd. pada 2 Januari 2015 tetapi masih dianggap sebagai as good as cash walaupun tiada duit diterima.
8.27. Secara keseluruhannya, pelaburan awal 1MDB dengan PetroSaudi yang melibatkan pelaburan yang besar pada tahun 2009 tidak membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara, iaitu tidak selaras dengan objektif penubuhan syarikat. Untuk tempoh empat tahun mulai penubuhan 1MDB pada tahun 2009 hingga 2012, pelaburan awal 1MDB dengan menggunakan dana terbitan bon IMTN berjumlah RM5 bilion, instrumen pelaburan 1MDB telah bertukar sebanyak empat kali. Bermula daripada pelaburan ekuiti USD1 bilion (RM3.49 bilion) pada tahun 2009 dalam syarikat usaha sama dengan syarikat subsidiari PetroSaudi International Limited, diikuti dengan pelaburan Nota Murabahah berjumlah USD830 juta (RM2.59 bilion) pada tahun 2011 dan 2012 hinggalah ditukar kepada pelaburan portfolio SPC berjumlah USD2.318 bilion (RM7.18 bilion) di Cayman Islands pada bulan September 2012. Penebusan sebahagian pelaburan portfolio SPC pada tahun 2014 telah digunakan membiayai pelbagai komitmen syarikat dan pelaburannya. Pelaburan ini akhirnya berbaki USD939.87 juta dalam bentuk unit pelaburan portfolio SPC pada 31 Mac 2015.
8.28. Keputusan menukar pelaburan dari satu instrumen pelaburan kepada instrumen yang lain dalam tempoh yang singkat dengan melibatkan jumlah dana yang besar menunjukkan proses membuat keputusan pelaburan tidak dilakukan dalam satu struktur tadbir urus yang baik dan tidak mempunyai perancangan terperinci berhubung pelaburan strategic jangka panjang.
8.29. Perkara-perkara yang ditemui menggambarkan syarikat ini telah mengambil banyak keputusan perniagaan yang tidak berhemat, berisiko tinggi dan tidak selaras dengan status 1MDB sebagai sebuah syarikat pembangunan negara, dan sepatutnya melabur dalam projek yang boleh memacu pembangunan negara, dan sepatutnya diurus mengikut amalan terbaik tadbir urus korporat bagi menjaga kepentingan syarikat dan Kerajaan.
– TAMAT –

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...