BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Tuesday, 11 August 2015

DIKTATOR PEMBUNUH DEMOKRASI YANG PERTAMA DI DUNIA YANG MELETAKKAN JAWATAN SECARA SUKARELA DAN BOLEH HIDUP AMAN BAHAGIA SEHINGGA KINI.



 DIKTATOR PEMBUNUH DEMOKRASI YANG PERTAMA DI DUNIA YANG MELETAKKAN JAWATAN SECARA SUKARELA DAN BOLEH HIDUP AMAN BAHAGIA SEHINGGA KINI.
PEMBUNUH DEMOKRASI YANG IRONI
Apabila seorang bekas Perdana Menteri mengatakan bahawa demokrasi sudah mati di Malaysia, maka ramailah yang menyindir beliau kononnya demokrasi sudah dibunuh lama dahulu ketika pemerintahannya.
Diktator. Kuku Besi. Gila Kuasa. Inilah antara gelaran yang sering digunakan bagi membuat rumusan mengenai insan ini. Hanya kerana beliau memerintah selama 22 tahun, memenangi 5 pilihanraya umum dengan majoriti 2/3 dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama, maka label-label sebegini digunakan.
Wajarkah gelaran tersebut? Adakah benar beliau pemubunuh demokrasi atau seorang diktator?
Sebelum itu, siapakah diktator?
Apa yang difahami adalah diktator merupakan seorang pemimpin yang enggan melepaskan kuasanya walaupun sudah tidak popular, menekan seteru politiknya dengan pelbagai ancaman seperti saman dan penjara, menindas rakyatnya dengan menafikan pengagihan kekayaan negara kepada mereka serta mendiskriminasi, menyekat sebarang gerakan awam dan menapis segala bentuk maklumat kepada awam.
Pertama sekali, perkara yang gagal difahami oleh pengkritik ‘pembunuh demokrasi’ ini adalah beliau tidak pernah mempamerkan dan meletakkan dirinya sebagai seorang yang demokratik sebagaimana sesetengah ahli politik yang menjadikan demokrasi, hak asasi, liberalisma dan Islamik sebagai modal politik.
Sebaliknya, ini adalah insan yang pragmatik di mana beliau menggunakan sesetengah elemen demokrasi yang dirasakan berkesan dalam membangunkan negara.
Namun begitu, tidak mengamalkan demokrasi 100% tidak menjadikan beliau adalah seorang diktator atau pembunuh demokrasi. Bahkan, bagi seseorang yang tidak pernah ‘menjual’ dirinya sebagai pejuang hak asasi dan pendekar demokrasi, apa yang beliau lakukan sepanjang 22 tahun adalah sangat ironi bagi seorang pembunuh demokrasi.
Di dalam aspek politik, pembunuh demokrasi ini telah hampir kalah di dalam pemilihan parti 1988 walaupun mendapat pencalonan terbanyak daripada bahagian. Apabila pencabarnya meninggalkan parti dengan mewujudkan parti baru, parti tersebut tidak dihalang untuk bertanding menentangnya di dalam pilihan raya.
Dan apabila parti serpihan itu telah kalah, pemimpin-pemimpin dan ahli parti tersebut telah diajak menyertai parti asal mereka, iaitu parti yang dipimpin oleh diktator tersebut. Bukan sahaja mereka ini diberi peluang memasuki semula parti, tetapi turut diberikan jawatan-jawatan penting baik di dalam parti mahupun kerajaan.
Beberapa pemimpin parti serpihan itu dibawa masuk ke dalam kabinet dan seorang daripadanya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang kemudiannya dipilih untuk menggantikan diktator bernama Tun Dr Mahathir.
Kemungkinan ketika itu pembunuh demokrasi ini tidak mengetahui amalan diktator-diktator di negara lain yang kebiasaannya melantik anak atau ahli keluarga mereka sebagai pengganti.
Barangkali juga diktator-diktator ini tidak menasihati Tun supaya menarik balik larangan beliau yang tidak membenarkan ahli keluarganya untuk aktif di dalam politik.
Boleh jadi juga Tun telah diberikan nasihat yang salah oleh penasihat-penasihatnya maka dengan itu beliau telah memberikan kebenaran anak-anak ahli politik yang lain termasuk seteru politik beliau untuk bergiat aktif di dalam politik.
Amatlah malang bagi seorang pembunuh demokrasi ini kerana keluarganya tidak seperti keluarga Kennedy, Castro atau keluarga Razak yang begitu dikenali sebagai keluarga yang berpengaruh dan dihormati di dalam arena politik negara.
Keluarga Mahathir? Hanya selepas beliau tidak menjadi Perdana Menteri barulah anak beliau dibenarkan untuk bergiat aktif di dalam politik.
Bagaimana pula polisi dan dasar sepanjang pemerintahan beliau?
Kebiasaannya, pembunuh demokrasi akan mengawal mahkamah dan polis. Tetapi ia adalah di luar kebiasaan bagi mahkamah untuk mengharamkan parti politik Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri ketika itu adalah seorang yang dikatakan memerintah secara kuku besi.
Jika di negara kuku besi yang lain, kemungkinan hakim tersebut terpaksa berhijrah ke negara jiran dan menulis memoir bagi menampung kehidupan dirinya. Sebaliknya di Malaysia, hakim tersebut telah dinaikkan pangkat menjadi hakim persekutuan.
Di dalam kontroversi seorang bekas Ketua Hakim Negara, beliau ingin digantikan bukan kerana Perdana Menteri ketika itu tidak boleh mengawal beliau. Sebaliknya beliau telah berkelakuan biadap dengan menulis surat kepada semua raja-raja berkenaan dengan bunyi bising kerja pengubahsuaian rumah Yang DiPertuan Agong.
Oleh itu Agong sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa mutlak terhadap kehakiman telah mengarahkan Perdana menteri untuk menggantikan Ketua Hakim ini.
Hairannya, pembunuh demokrasi ini telah bersusah payah mewujudkan tribunal, memanggil ketua-ketua hakim dari luar negara (yang sememangnya mudah dirasuah) dan seterusnya membicarakan ketua hakim tersebut.
Bukankah lebih mudah jika ketua hakim itu diculik, hilang tanpa dikesan atau dibuang ke laut sebagaimana amalan diktator/pembunuh demokrasi di negara lain? Lebih ajaib, ketua hakim tersebut telah bertanding di dalam pilihanraya kawasan Lembah Pantai pada 1995 menentang calon parti politik diktator ini tanpa sebarang sekatan.
Pada 1998, apabila seorang Timbalan Perdana Menteri yang popular dipecat dan didakwa atas salah laku, mahkamah telah dilabel sebagai mahkamah kangaroo. Sama ada kangaroo pernah dihadapkan ke mahkamah dan mengawal keputusan hakim tidaklah begitu aneh.
Tetapi yang anehnya adalah mahkamah yang sama telah membebaskan timbalan tersebut, bukan sekali malah dua kali bagi pertuduhan yang sama.
Mungkin pengkritik berkata pembebasan itu hanya selepas pembunuh demokrasi tersebut sudah tidak lagi berada di dalam kerajaan. Benar.
Tetapi bagaimana bagi seorang diktator yang pengaruhnya dikatakan melangkaui setiap badan kerajaan, perundangan dan penguatkuasaan tetapi pengaruh tersebut sudah hilang hanya kurang setahun sejak dari persaraannya?
Tidak logik bagi seorang Perdana Menteri baru yang dipilih oleh diktator itu sendiri untuk bertindak bertentangan dengan pengaruh diktator tersebut dengan membebaskan mahkamah dari cengkaman pemerintahan. Adakah ada kemungkinan badan kehakiman sebenarnya bebas dari cengkaman?
Malaysia memberi jaminan untuk tidak mengawal kebebasan internet di Malaysia. Hanya 15 tahun selepas memberi jaminan tersebut dan apabila sudah tidak lagi menjadi berkuasa barulah pembunuh demokrasi ini mahukan internet disekat.
Kemungkinan beliau mahukan rakyat Malaysia menggunakan medium tersebut bagi mengkritik, menghina serta menanam kebencian orang ramai terhadap dirinya selepas beliau bersara. Ironinya adalah diktator ini mungkin terlupa untuk menyaman dan mengheret pengkritiknya di internet ke mahkamah bagi segala komentar dan artikel yang berbaur fitnah.
Bukankah mahkamah kangaroo tersedia untuk menurut kemahuannya bagi menghukum mereka yang tidak sependapat dengan dirinya?
Napoleon Bonaparte- diktator Perancis menghabiskan hidupnya di Selatan Italy. Idi Amin bersara di Libya dan Arab Saudi. Shah Iran lari ke Mesir, Morocco dan Amerika Syarikat. Ferdinand Marcos tidak tinggal di Filipina selepas bersara sebaliknya menetap di Hawaii.
Kesimpulannya kebanyakan diktator menghabiskan saat akhir hidup mereka dengan menetap di luar negara. Ada yang berbuat demikian kerana pilihan sendiri dan ada juga yang terpaksa keluar negara kerana bimbang akan keselamatan diri mereka di negara sendiri.
Akan tetapi pembunuh demokrasi dan diktator ini memilih tinggal di Malaysia dan bebas berulang alik ke pejabatnya di Putrajaya, Muzium Islam dan Proton tanpa perlu dikawal rapi.
Mengapa beliau tidak berasa takut atau bimbang akan keselamatan dirinya? Bukankah sepatutnya beliau hidup di dalam ketakutan dan diburu oleh musuhnya?
Jika masih ada lagi yang berpendapat bekas Perdana Menteri Malaysia keempat ini seorang diktator dan pembunuh demokrasi, mereka wajib sedar akan hakikat bahawa diktator inilah yang mungkin adalah diktator yang pertama di dunia yang meletakkan jawatan ketika berada di kemuncak kuasa dan populariti.
MatRodi
Ps: Mengambil kira apa yang berlaku sekarang, siapa sebenarnya yang membunuh demokrasi?

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...