BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Saturday, 4 July 2015

NASIHAT SEORANG RAKYAT BIASA KEPADA NAJIB

48 mins · 
Ahad, 5 Julai 2015
NASIHAT SEORANG RAKYAT BIASA KEPADA NAJIB
Semoga Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Sejujurnya saya sebagai rakyat biasa, berasa amat dukacita dengan kepimpinan Datuk Seri.
Ramai juga rakyat yang marah dengan kepimpinan Datuk Seri. Semuanya ini dizahirkan melalui keputusan PRU13, yang mana ianya merupakan keputusan terburuk sepanjang 6 kepimpinan perdana menteri.
Ada pun menteri dan orang yang mengelilingi Datuk Seri, kebanyakan mereka hanyalah menceritakan perkara yang mereka fikir Datuk Seri suka atau patut dengar sahaja.
Sejujurnya saya amat berharap Datuk Seri dapat turun ke dalam kehidupan kami yang "sebenar", bukan turun padang hanya untuk bergambar semata-mata.
Izinkan saya menyatakan beberapa isu buat Datuk Seri yang mana semua isu-isu ini datang daripada suara hati rakyat sendiri.
1. Kenaikan harga minyak
Rakyat sebenarnya amat marah dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Datuk Seri boleh lihat sendiri begitu banyak kemarahan rakyat, sama ada di blog, Facebook, Twitter dan pelbagai lagi media laman sosial, selepas harga minyak dinaikkan.
Harga minyak mentah dunia menurun ke paras AS$60 setong seperti yang berlaku di akhir Jun, harga RON95 sepatutnya diturunkan ke arah paras RM1.70 seliter.
Sebaliknya, pentadbiran Datuk Seri menaikkan harga RON95 yang bertentangan dengan paras harga minyak mentah dunia.
Mungkin bagi Datuk Seri 10 sen tiada apa. Tetapi bagaimana pula dengan kami rakyat biasa yang menggunakannya tiap-tiap hari?
Dan adakah Datuk Seri sedar, dengan kenaikan minyak ini, kebanyakan harga barang juga naik dengan mendadak, sehingga ia menekan kos sara hidup rakyat yang ada sekarang.
Pemimpin yang baik adalah bukan dengan cara menekan rakyat, tetapi memudahkan kehidupan rakyat.
2. Cukai GST
Adakah Datuk Seri ingat rakyat suka dengan GST?
Apabila kebanyakan rakyat pergi ke kedai membeli barangan lalu dilihat resit ada tertulis cukai GST dikenakan, adakah Datuk Seri merasakan mereka suka?
Pengumuman kerajaan dengan menyebut barang-barang tertentu dikenakan GST tanpa menyebut barang-barang lain, adalah perangkap untuk mengenakan cukai ke atas barang-barang yang tidak disebut.
Sistem percukaian ini dikenakan kepada semua tanpa mengira berapa pendapatan seseorang. Ia berbeza dengan cukai SST sebelum ini dimana ia dikenakan mengikut pendapatan seseorang.
Menerusi GST juga harga barang akan meningkat naik berkali-kali ganda kerana pengeluar, pengedar berhadapan dengan kenaikan kos, dan kos itu ditanggung oleh pengguna, iaitu rakyat.
Akibat daripada GST ini, harga barangan kebanyakannya naik dengan mendadak dan inilah yang menyebabkan kemarahan rakyat. Ada pun kerajaan mengatakan pemberian BR1M dapat menggantikan semula cukai GST yang dikutip dan mengurangkan bebanan rakyat, akan tetapi ia adalah umpama pemberian "meraih undi semata-mata".
Adalah lebih baik duit itu disalurkan dengan cara menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan bantuan perniagaan yang diperlukan rakyat Malaysia ketika ini, sekaligus mampu meningkatkan produktiviti rakyat dan negara berbanding pemberian tunai daripada kerajaan yang sebenarnya berasal daripada kalangan duit pembayar cukai di Malaysia.
Akibat cukai GST yang menyebabkan kenaikan harga barang meningkat, pemberian itu tidak memberi apa-apa makna terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik, malah diambil berkali-kali sehingga membebankan rakyat.
3. Mentaliti menteri
Umum mengetahui, Datuk Seri mempunyai ramai menteri.
Adakah Datuk Seri sedar sudah ramai menteri yang memberi kenyataan yang membawa kemarahan kepada rakyat, malah kenyataan mereka ini memalukan Datuk Seri sendiri.
Kami rakyat biasa ini mengharapkan agar menteri ini membawa kenyataan yang berilmu dan memperkukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap mereka.
Contohnya ada menteri yang mengeluarkan kenyataan seperti: “Kalau tengok harga ayam naik, jangan beli ayam”. Jadi bila cukai yang membebankan rakyat seperti GST naik, adakah wajar kami membayar cukai yang membebankan ini?
Ada juga menteri yang mengatakan, “Jika diperkenalkan GST, maka harga barangan akan menurun”.
Adakah harga barangan yang dapat kita lihat pada hari ini menurun, atau semakin meningkat secara mendadak?
Kenyataan yang kurang cerdik daripada sebahagian menteri ini menyebabkan hilang rasa percaya dan hormat pada menteri-menteri yang ada sekarang.
Datuk Seri sewajarnya menegur menteri-menteri ini daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak wajar.
Dalam Islam juga kita diajar untuk saling tegur menegur demi kebaikan bersama. Tugas ini terletak di tangan Datuk Seri.
Kesimpulan
Sesungguhnya semua isu di atas datang daripada suara dan lubuk hati rakyat Datuk Seri sendiri.
Sudah banyak pihak yang menegur kepimpinan Datuk Seri, termasuklah mantan perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Insan seperti Tun, di saat beliau mempunyai sisa dan baki hidup yang terakhir, ambillah peluang ini menerima nasihat daripada beliau, bukan lagi menjauhkan diri daripada beliau.
Di kesempatan Aidilfitri yang bakal menjelma, ambillah peluang bermaaf-maafan sesama Datuk Seri dan juga Tun. Dengarlah suara dan isi hati rakyat, bukan hanya mendengar mereka yang hanya mengangguk apabila Datuk Seri berkata-kata.
Tindakan ini akan dapat mengukuhkan lagi kerajaan yang semakin lama semakin dikritik rakyat.
Saya menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan saya agar Datuk Seri dapat membacanya dan mengambil iktibar daripadanya.
Moga Tuhan dapat membuka hati Datuk Seri agar dapat memimpin negara Malaysia ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...