BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Saturday, 18 July 2015

Najib tidak akan jatuh, kecuali….


Najib tidak akan jatuh, kecuali….
Amin Iskandar

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Published: 19 July 2015

Seorang penganalisis politik antarabangsa yang sudah lama melakukan kajian terhadap Malaysia meramalkan Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri walaupun beliau kini diselubungi skandal besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Profesor William Case daripada Pusat Kajian Asia Tenggara, City University of Hong Kong mengatakan Najib akan berjaya melepaskan diri walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan kerana beliau mengawal siasatan dijalankan terhadapnya dan mempunyai sejarah panjang terselamat daripada pelbagai skandal.

“Walaupun skandal (1MDB) ini antara yang paling besar, saya percaya Najib akan terselamat kerana pasukan petugas khas akan melaporkan secara terus kepadanya dan beliau mempunyai sejarah terselamat daripada pelbagai skandal,” kata Case dalam wawancara bersama CNBC pada 12 Julai lalu merujuk kepada pasukan petugas khas menyiasat 1MDB.



Menurut Case, walaupun Najib kini diserang hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ianya tidak akan memberikan kesan besar kerana presiden Umno itu kini disokong kuat partinya.
Case berkata, walaupun kredibiliti Najib dikritik hebat selepas The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke akaun peribadinya, perdana menteri akan terus bertahan selagi Umno mahukannya kekal.

“Kita harus faham apa fungsi Umno sebenarnya. Umno bukan sahaja kenderaan untuk pilihan raya, ia juga merupakan ‘mesin naungan gergasi’.

“Dan orang menyertai parti ini bukan sahaja untuk mempertahankan komuniti Melayu, akan tetapi untuk menguntungkan diri mereka sendiri.”

Wartawan CNBC yang menyoal Case terkejut dengan hujah Case, Najib bakal menyelamatkan diri walaupun berdepan tuduhan berbilion ringgit wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadinya dan kini diserang hebat Dr Mahathir.

Case benar-benar memahami politik Malaysia. Ramalan beliau dalam wawancara yang penulis lakukan dengannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) juga tepat.

Pada waktu itu ketika semua orang merasakan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam PRU13, Case mengatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berjaya menakluki Putrajaya hanya dengan kekuatan undi Cina.

Di negara dunia ketiga seperti Malaysia, jangan kita bayangkan politiknya sama seperti di Amerika Syarikat atau United Kingdom. Pilihan raya di Malaysia juga tidak setaraf dengan di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kita juga jangan merasakan ahli politik di Malaysia sama seperti di Jepun atau Korea Selatan. Di Jepun seorang presiden parti akan meletakkan jawatan sekiranya prestasi buruk dalam pilihan raya.

Di Korea Selatan, bekas presiden Roh Moo Hyun membunuh diri kerana dituduh terlibat rasuah demi maruahnya.

Semua ini tidak terpakai di Malaysia. Di Malaysia sebesar manapun skandal, seseorang pemimpin itu masih boleh menyelamatkan dirinya dan kekal berkuasa.

Kerana di Malaysia, kalau adapun penentangan dan demonstrasi, ianya tidak sehebat seperti di Korea Selatan di mana demonstran sanggup mengorbankan diri mereka.

Demonstrasi diadakan di Malaysia selepas dua tiga jam, para demonstran akan pulang dan hidup seperti biasa.

Tidak seperti di negara-negara yang pernah menumbangkan pemimpin mereka melalui demonstrasi jalan raya, demonstrasi dilakukan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan sehinggalah tuntutan mereka dipenuhi.

Penulis bersetuju dengan ramalan Case. Akan tetapi penulis menambah, Najib akan kekal sebagai perdana menteri 5 hingga 10 tahun lagi selepas PRU14 jika berjaya menyelamatkan diri daripada skandal 1MDB.

Jika pembangkang kuat semasa PRU13 juga tidak mampu menewaskan BN, apa boleh diharapkan dengan pembangkang yang berpecah?

Melainkan pemain-pemain politik berani melakukan sesuatu “di luar kotak” dan memanfaatkan kenaikan kos kehidupan yang memberikan kesan besar kepada majoriti rakyat Malaysia pada hari ini. – 19 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/amin-iskandar/article/najib-tidak-akan-jatuh-kecuali?utm_content=buffer9ea86&utm_medium=social&utm_source=twitter.com&utm_campaign=buffer#sthash.jspakBHZ.dpuf

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...