BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Friday, 24 July 2015

Jangan Tertekan Sampai Tak Lalu Makan

Jangan Tertekan Sampai Tak Lalu Makan

 
A Kadir Jasin 

 
MUTAKHIR  Pelik dan hairan. Macam mana orang yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Bank Negara tiba-tiba menghilangkan diri dan PDRM belum membuat sebarang tangkapan.

Daripada laporan media massa, khususnya media arus perdana, PDRM sangat beriltizam mahu mengorek berita daripada Andre Justo yang dalam tahanan Polis Thai. Apakah Justo begitu tahu mengenai 1MDB?

Apa matlamat  Pasukan Petugas Khas – nak siasat ke mana duit 1MDB lesap atau nak dengar cerita Justo? Boleh dengar cerita Justo. Tapi duit yang lesap wajib dikesan. Itu bukan duit rakyat jelata Malaysia. Ia bukan modal Pak Arab atau duit sadakah Putera Puteri Arab.

Kita berdoa kepada Allah agar memberikan petunjuk dan kekuatan kepada pegawai-pegawai MACC, Bank Negara, Pejabat Peguam Negera  dan kepada pegawai-pegawai PRDM yang berjuang atas dasar kebenaran.

Cukuplah kita berselindung di sebalik “conspiracy theories” dan menghukum pihak-pihak yang tak sebulu dengan kita. Kalau mereka salah, kita tidak semestinya benar.

Jangan sangka rakyat jelata tidak tahu. Jangan sangka semua orang boleh dibeli atau diancam. Dan yang berkuasa juga jangan sangka mereka tidak ada musuh dalam selimut.

Wallahuaklam.

ORIGINAL POSTING
 
NAK salahkan orang kita naik angin, emosional dan jadi tak tentu arah pun tak boleh juga. Memang keadaan dalam negara kita kacau-bilau. Politik huru-hara dan ekonomi tak tentu hala.

Tapi, alhamdulillah ada lagi orang kita yang boleh buat jenaka dan gelak ketawa. Orang Utara kata, buat lawak atau kelolo.

Kelolo, bukan koro. Koro penyakit yang serang orang lelaki sampai hilang kejantanan dan segala keberanian (Baca di sini).

Semalam saya minum teh dengan seorang ahli parlimen pembangkang. Mulai 26 Jun lalu, saya boleh minum teh dengan semua orang politik tanpa rasa ragu sebab saya tidak ada afiliasi dengan mana-mana parti politik lagi. Saya sudah jadi non-partisan.

Lagi pula, mulai 1 Julai saya tidak ada kerja atau jawatan lagi. Sudah tutup kedai. Nganggur. Orang Utara kata, sepak kertas. Orang putih kata, jobless. Selama 46 tahun makan gaji – mulai 16 Jun 1969 sampai 1 Julai 2015.

Ahli parlimen bekas Pakatan Rakyat itu bagi tahu saya, bulan puasa dia menjelajah Sulawesi - negeri orang Bugis - selama dua minggu. Dia nak belajar macam mana wilayah Indonesia itu selesaikan pertumpahan darah Islam-Kristian.

Mangsa pergaduhan agama di Sulawesi
Dia kata, orang Bugis bukan lanun seperti yang sering diandaikan, tapi satu bangsa yang sangat utamakan kebenaran.

Saya kata: "Ya lah, mana ada orang Bugis di negeri Bugis nak mengaku ada orang Bugis zaman dulu kala jadi lanun."

Itu zaman dulu. Sekarang, kalau melanun orang Somalia di Afrika Timur nombor satu. Tapi lanun boleh kata ada di semua benua. Di mana ada laut, ada lah lanun. Di darat dipanggil pencuri, perompak, penyamun, perampok dan sebagainya. Sekarang ada perampok kolar putih.

Ahli parlimen itu adalah antara yang kena sekat daripada pergi ke luar negara.

Saya kata, susah juga nak fikirkan apa alasan sebenar mereka dihalang daripada meninggalkan tanah air. Fikir punya fikir, saya mendapat ilham berikut:

1. Sekarang musim durian. Kerajaan mahu mereka tinggal dalam negara dan bantu lariskan jualan durian supaya pemilik dusun, peraih dan peruncit durian boleh cari makan, menjana ekonomi dan memacu transformasi.

2. Sekarang Tahun Melawat Malaysia. Jadi kerajaan mahu seramai mungkin rakyat jelata ambil bahagian dalam Cuti-Cuti Malaysia.

3. Sekarang nilai ringgit merudum. Kalau ramai rakyat Malaysia mengembara ke luar negara, lagi teruklah kejatuhannya.

4. Rizab luar pun merosot. Khabarnya kerana mempertahankan nilai ringgit. Kalau ramai orang kita mengembara ke luar negara dan bawa keluar duit yang banyak, lagi teruklah kejatuhan rizab dan kadar tukaran duit kita.

5. Tapi saya rasa para YB itu tidaklah kaya. Jadi banyak mana sangat yang mereka nak bawa keluar. Lagi pun elaun baru mereka, khabarnya, belum lagi dibayar. Perbendaharaan tak cukup duit kot!

6. Dalam suasana ada macam-macam teori persekongkolan (conspiracy theories) boleh jadi juga pihak berkuasa takut para YB itu pergi ke luar negara untuk sertai IS.

7. Mungkin kerajaan tidak mahu mereka ke luar negara sebab mereka akan disiasat berkenaan dakwaan konspirasi nak jatuhkan Perdana Menteri.

8. Yang lawaknya, dua orang yang Pasukan Petugas 1MDB nak tangkap dah cabut lari ke luar negara. Seorang namanya Nik Faisal Ariff Kamil (peguam) dan seorang lagi Suboh Mohd Yassin, bekas pegawai tinggi kerajaan.

Nik Faisal (atas) dan Suboh
9. Atau boleh jadi juga pihak berkuasa tak mahu mereka ke luar negara pasal takut mereka dapat lagi banyak maklumat dan dokumen berkenaan 1MDB.

Wallahuaklam.

Nasihat saya, janganlah gundah gulana sampai makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, resah gelisah tak tentu arah. Meminjam lingo kontemporari anak-anak muda, jangan emo sangat!

Jangan risau sampai sasau. Jangan tidak ketahuan sampai kena sawan. Lagi teruk kalau kena sawan babi. Tak ada ubat. Kita emo dan susah hati pun belum tentu ada orang peduli.

Ambil iktibar daripada sejarah. Bila pembesar Perancis bagi tahu Marie Antoinette yang rakyat jelata Perancis tak ada roti nak makan, bini raja Perancis itu kata: "Biar mereka makan kek!"

Marie Antoinette amat berpengaruh
Tak lama lepas itu rakyat Perancis bangkit memberontak. Marie Antoinette dan laki dia, Raja Louis XVI kena pancung.

Dua puluh sembilan tahun lalu, Presiden Marcos lari tinggalkan negara kerana diburu rakyat jelata. Nasib baik Amerika tolong seludup. Sekarang ada muzium kasut Imelda Marcos di Manila.

Muzium Kasut Imelda Marcos di Manila
Akhir kalam, dalam kita berjenaka melegakan sesak di dada, eloklah kita fikir-fikirkan siapa yang kita mahu terajui negara di masa akan datang. Itu saja yang kita boleh buat. Kita hanya boleh berfikir dan bagi pendapat. Kuasa melantik bukan di tangan kita. Kita ada kuasa hanya waktu pilihan raya.

Kita fikirkanlah yang terbaik di kalangan yang kurang baik. Kita memilih manusia bukan malaikat. Fikirkanlah yang tahu agama dan moral, yang tidak terlalu kontroversi, tidak terlalu kaya raya dan yang anak bininya tahu tempat masing-masing.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...