BLOG PENYIMPAN MAKLUMAT.

ISI KANDUNGAN DALAM BLOG INI ADALAH DATANGNYA DARI BERBAGAI PENDAPAT DAN DAKWAAN DARI PELBAGAI PORTAL BERITA ,BLOGGER DAN FACEBOOKER YANG HANDAL-HANDAL SERTA TERMASYHUR.

DENGAN PENGUMPULAN MAKLUMAT SEBEGINI, KITA AKAN DAPAT MENGKAJI LEBIH MENDALAM DAN JELAS SESUATU PERKARA ITU MALAH SENTIASA BOLEH MEMBUAT RUJUKAN APABILA DIPERLUKAN.

SELAIN ITU IANYA JUGA ADALAH SEBAGAI BUKTI YANG JELAS YANG BESERTA DENGAN BUTIRAN DAN DATA SEKIRANYA DIPERLUKAN DIKEMUDIAN HARI.

AHMAD BAHAROM COLLECTION.
ABC.


CARI TAJUK UTAMA YANG ANDA PERLUKAN DISINI

Loading...

Sunday, 12 July 2015

Jangan Terpesong Daripada Penyiasatan 1MDB



Jangan Terpesong Daripada Penyiasatan 1MDB


A Kadir Jasin

KITA, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, nampaknya sangat mudah dipesongkan dan sangat cepat lupa.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Kerana asyik bercakap mengenai akaun bank AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, kita seolah-olah lupa isu sebenar, iaitu penyiasatan ke atas 1MDB.
Kita kena terus tumpu perhatian kepada 1MDB kerana inilah punca masalah dan dari sinilah bermulanya jejak wang (money trail) yang berpuluh-puluh bilion itu.
Alhamdulillah, nampaknya sejak seminggu dua ini selera dan modus operandi badan-badan penyiasat telah berubah. Daripada mata kasar, nampak mereka lebih serius, bebas, terbuka dan telus menyiasat hal-hal berkaitan 1MDB, termasuk akaun Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak di AmBank Islamic.
Sampai saat ini pun Mohd Najib tidak menafikan yang akaun itu pernah wujud. Ia dibuka sebelum pilihan raya umum (PRU) 2013 dan ditutup beberapa bulan selepas itu. Beliau hanya berkata, beliau tidak menggunakan tabung negara untuk kepentingan diri beliau sendiri.
Penubuhan Pasukan Petugas mengandungi Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia menambahkan keyakinan bahawa penyiasatan pada peringkat ini adalah lebih bebas, berani dan telus.
Alhamdulillah, Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, nampaknya lebih gigih dan berani menyiasat. Namun kita belum boleh lagi mencurahkan air di tempayan kerana mendengar dentuman guruh di langit. Macam orang putih kata, "anything can happen" (apa saja boleh berlaku.)
Pasukan Petugas perlu membongkar dan memperjelaskan modus operandi 1MDB, khususnya yang berkaitan dengan pinjaman-pergi-balik melibatkan PetroSaudi dan pembelian penjana elektrik bebas (IPP) kerana disyaki berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, bayaran bawah kaunter dan rasuah.

Tidak dapat dinafikan lagi iaitu 1MDB membayar harga yang sangat tinggi bagi membeli IPP tua yang hampir tamat tempoh konsesinya. Kalau konsesi mereka tidak disambung, IPP berkenaan akan menjadi harta TNB dengan bayaran RM100 sahaja.

Rakyat jelata tentu ingin tahu bagaimana sebuah syarikat Kementerian Kewangan yang menterinya Mohd Najib sendiri boleh berhutang hingga RM42 bilion dengan modal berbayar hanya RM1 juta tanpa Kabinet mengetahuinya.

Apa yang strategik mengenai perniagaan hartanah dan utiliti (elektrik dan air) sedangkan kita sudah pun ada banyak syarikat dan agensi kerajaan yang berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan seperti itu - Sime Darby dan UEM dalam hartanah dan TNB dalam bidang tenaga?
Yang nampak strategik dalam erti kata yang mencurigakan ialah kerajaan menjual tanah milik negara kepada 1MDB dengan harga sampah - orang putih kata “dirt cheap” - (sekitar RM60 sekaki persegi) dan menjualnya 40 hingga 50 kali lebih tinggi. Tabung Haji, misalnya, membeli dengan harga RM2,700 sekali persegi. Kalau setakat jual-beli tanah itu bukan strategik namanya.

Ancaman Terhadap Kedaulatan Negara

Kita juga hendak tahu apakah potensi ancaman terhadap kedaulatan negara apabila 1MDB berhutang berbilion-bilion ringgit daripada pihak asing seperti International Petroleum Investment Company (IPIC), PetroSaudi dan Aabar?
Apakah yang dicagarkan kepada IPIC sehingga mereka sanggup meminjamkan AS$1 bilion (RM2.7 bilion) kepada 1MDB Mei lalu?
Kita hendak tahu apakah ancaman terhadap kedaulatan negara kita apabila Singapura tahu rahsia usus niaga 1MDB di republik itu.
Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) tahu apa sebenarnya berlaku dengan duit 1MDB di Singapura yang pada mulanya tunai, kemudian jadi sijil harta dan lepas itu “unit”.
Kalau penyiasatan MAS tidak menemui apa-apa yang buruk tentulah Bank Negara dan media arus perdana telah mencanangkannya. Sebaliknya apabila MAS menyerahkan laporan siasatannya kepada Bank Negara, Gabenor (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz berkata ia adalah rahsia.
Kita takut maklumat yang ditemui oleh MAS dan pihak-pihak luar yang lain digunakan sebagai “leverage” untuk memeras ugut pemimpin kita.
Kita mahu tahu Pasukan Petugas memberi pencerahan kepada kita mengenai peranan Jho Low yang terbukti sangat akrab dengan Mohd Najib, keluarganya serta ramai lagi pembesar dan pegawai tinggi Kerajaan Malaysia.
Apakah keistimewaan “dealmaker” kelahiran Pulau Pinang ini sehingga beliau begitu bebas dan terlindung?
Jhlo Low (kiri sekali) bersama Najib dan keluarga
Kita hairan mengapa orang ini bukan sahaja sangat berkuasa dan berpengaruh malah seolah-olah tidak boleh disentuh oleh undang-undang negara sedangkan beliau adalah warganegara. Apa rahsia yang dipegangnya? 

Alhamdulillah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akhirnya membuat kenyataan umum bahawa ia akan memanggil Jho Low untuk memberi keterangan dalam siasatannya mengenai 1MDB.
Sekiranya Jho Low enggan bekerjasama, PAC wajib membuat laporan polis terhadap beliau supaya dengan itu PDRM boleh meminta bantuan Polis Antarabangsa, Interpol untuk mengesan beliau.
Kalau beliau tidak bersalah atau tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, beliau tentu berani kembali ke tanah air sendiri untuk menghadapi PAC dan membersihkan namanya.
Kesan Jangkitan 1MDB

Masalahnya, 1MDB hanyalah salah satu daripada banyak isu yang menyebabkan politik dan ekonomi kita dalam keadaan kacau-bilau dan amat membimbangkan.
Ada banyak lagi isu yang menyebabkan ekonomi kita tertekan dan kita mengalami defisit keyakinan (confidence deficit) yang teruk.
Kita belum lagi mendedahkan secara terperinci apa yang telah dan sedang berlaku dalam syarikat dan agensi terpilih seperti Tabung Haji, Felda, Felda Global Ventures (FGV), SRC International Sdn Bhd, Pembinaan PFI Sdn Bhd dan tabung-tabung pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
Yang kita tahu dan sudah pun didedahkan adalah tabung-tabung pelaburan ini, termasuk Tabung Haji, telah pun memberi hutang berbilion ringgit kepada 1MDB dengan membeli bon-bon serta tanah miliknya.
Pencarum Tabung Haji, khususnya dan umat Islam amnya, tentu ingin tahu mengapa tanah TRX dijual pada harga yang sangat tinggi kepada Tabung Haji sedangkan Tabung Haji telah pun memberi pinjaman RM920 juta kepada 1MDB dengan membeli bon-bonnya.
Tapak TRX: Beli murah daripada kerajaan dan jual mahal
Kalau kerajaan hendak berjasa kepada Tabung Haji dan umat Islam mengapa tidak dijual saja tanah itu terus kepada Tabung Haji atau pada harga diskaun daripada 1MDB? 

Kerana 1MDB, Tabung Haji terpaksa berbohong dan membuat tipu helah. Pengerusi Tabung Haji, (Datuk Panglima) Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pada 26 Mei, banyak pihak berminat membeli tanah Tabung Haji di TRX dengan keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta, tapi sampai hari ini pun belum ada khabar berita yang tanah itu sudah dijual.
Keadaan juga tenat di FGV yang merupakan periuk nasi peneroka Felda dan keturunan mereka. FGV diuar-uarkan sebagai penanda aras IPO apabila sahamnya dijual kepada orang ramai sebelum PRU 2013.
Sekarang, selain menderita keruntuhan harga minyak kelapa sawit dan getah, FGV juga mengalami persepsi pasaran yang negatif akibat urus niaganya.
Harga sahamnya di Bursa Malaysia merudum daripada harga IPO RM4.55 kepada RM1.65 pada 10 Julai. Ini bermakna pelabur, termasuk Koperasi Permodalan Felda yang mewakili peneroka Felda telah rugi lebih 60 peratus.
Orang kepercayaan Mohd Najib di Felda, FGV
Baru- baru ini FGV mengumumkan pembelian ladang Eagle High Plantation milik orang kaya Indonesia (Tan Sri Kehormat) Peter Sandokh yang dianggap terlalu mahal oleh pelabur dan penganalisis pasaran. Sandokh adalah sahabat akrab Mohd Najib.
  
Sekarang FGV terpaksa menjual aset-asetnya di Amerika dan Kanada untuk menampung kos pelaburan itu serta memperbaiki kedudukan kewangannya yang goyah. Keuntungan tahun 2014 jatuh kepada RM20.21 juta berbanding RM982.2 juta tahun 2013.
Masalahnya bukan 1MDB sahaja berniaga dengan berhutang, tetapi beberapa buah syarikat Kementerian Kewangan yang lain pun melakukan hal serupa, misalnya Pembinaan PFI Sdn Bhd yang berhutang lebih RM25 bilion dengan KWSP sementara SRC International berhutang RM4 bilion dengan KWAP.
Jadi sebenarnya kalau kita faham ekonomi, perniagaan dan kewangan kita akan berasa sangat bimbang dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
Nampaknya bukan sahaja rakyat jelata hidup dengan berhutang, tapi kerajaan dan syarikat-syarikatnya pun berhutang dalam jumlah yang sangat besar.
Hari ini hutang kerajaan sudah pun mencecah tahap maksimum, iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebab itulah apabila syarikat penarafan antarabangsa Fitch menaikkan taraf hutang Kerajaan Malaysia daripada negatif kepada stabil, para pelabur tidak yakin.
Kesimpulannya, kita wajib kembali menumpukan perhatian kepada penyiasatan ke atas 1MDB kerana dari situlah bermulanya jejak wang (money trail), nawaitu yang songsang, kemungkinan pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah. Malah ada orang kata, penderhakaan kepada negara (treason).
Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...